PUTRAJAYA: Beberapa pertubuhan mahasiswa hari ini tampil menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bertujuan menyeru pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Penyelaras Persatuan NewGen Universiti Malaya, Soo Wee Lim berkata, para mahasiswa menyambut baik pelantikan Zambry dalam rombakan Kabinet baru-baru ini dan menganggap ia sebagai satu perubahan kepada pendidikan tinggi negara.
Menurutnya, pertubuhan-pertubuhan tersebut adalah merupakan kerajaan mahasiswa yang dipilih secara demokratik di kampus universiti.
Justeru, katanya, kesatuan pelajar harus diberi kuasa, kebebasan serta kepercayaan untuk menguruskan segala hal yang berkaitan dengan mereka.
“Maka, kami sebagai mahasiswa dan mahasiswi ingin menuntut Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu supaya memansuhkan AUKU dengan memulihkan Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan AUKU dengan kadar segera..
“Seterusnya, memperkasakan dan memberikan autonomi kewangan kepada mahasiwa serta memperkasakan autonomi kesatuan mahasiswa,” katanya kepada pemberita di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 20 mahasiswa dari pelbagai pertubuhan berkumpul di bangunan KPT untuk menyatakan hasrat mereka dengan menyerahkan memorandum tuntutan pemansuhan AUKU yang kemudiannya diserahkan kepada wakil kementerian.
Antara persatuan yang terlibat termasuklah Voice of Youtharian, Students Progressive Front UUM, Suara Siswa UUM, NewGen UM, Gerakan Mahasiswa Maju UPM serta TARANY.
Mengulas lanjut, Wee Lim berkata, sebelum ini pertubuhan-pertubuhan mahasiswa tersebut juga telah menyerahkan memorandum tuntutan yang sama kepada mantan menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Para mahasiswa percaya bahawa hanya dengan benar-benar memansuhkan AUKU, kuasa autonomi mahasiswa dapat dikembalikan.
“Pembaharuan pendidikan yang sebenar harus bermula dengan memperkasakan mahasiswa dan memberi mereka peluang untuk mencuba dan melakukan kesilapan bagi menerajui pembangunan masyarakat.
“Oleh itu, kami semua menggesa KPT supaya dapat memperkasa kesatuan pelajar dan memastikan kebebasan mereka demi mempertahankan hak sebagai mahasiswa,” ujarnya. – UTUSAN