PETALING JAYA: Perang antara Palestin-Israel yang meletus sejak 7 Oktober sehingga hari ini adalah peperangan paling buruk dalam sejarah rakyat Palestin apabila dianggarkan jumlah sebenar kematian mencecah 28,000 dengan 1.9 juta kini menjadi pelarian di tanah air sendiri.
Walaupun jumlah kematian rasmi dilaporkan adalah sekitar 20,000 orang, terdapat lebih 8,000 orang lagi masih hilang dipercayai terkorban di bawah runtuhan bangunan yang menjadi sasaran rejim Zionis sepanjang 78 hari peperangan meletus.
Jumlah kematian itu hampir sekali ganda daripada yang dilaporkan berlaku pada Nakba tahun 1948 atau Nakba 1948 di mana seramai 15,000 rakyat Palestin terkorban dengan jumlah pelarian sekitar 750,000 orang.
Krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza ketika ini juga adalah terburuk dalam sejarah kerana lebih 2.3 juta rakyat Palestin kini di ambang kebuluran tanpa sebarang bantuan makanan, air bersih dan ubat-ubatan..
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, pada Nakba 1948, Palestin mendapat sokongan hampir seluruh negara Arab yang turut menghantar pasukan ketenteraan masing-masing.
Bagaimanapun, pada peperangan kali ini, rakyat Palestin seakan-akan bersendirian mempertahan Semenanjung Gaza yang hanya seluas 350 kilometer persegi daripada dijajah oleh rejim Zionis.
“Senario pada masa kini amatlah berbeza berbanding Nakba 1948. Negara Arab dan beberapa negara Islam lain juga dilihat lebih cenderung membantu Israel seperti terus menjalankan perdagangan menghantar makanan kepada mereka.
“Kami rakyat Palestin berasa seperti dikhianati lebih-lebih lagi apabila ada negara Islam yang membantu memberikan laluan alternatif kepada kapal Israel selepas ia dihalang daripada menggunakan laluan Laut Merah oleh Houthi di Yaman,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sharif berkata, pembantaian yang dilakukan Israel kali ini lebih dahsyat apabila sehingga hari ini direkodkan sebanyak 1,700 insiden pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh rejim Zionis.
Katanya, jumlah itu jauh lebih banyak daripada Nakba 1948 yang merekodkan hanya 73 insiden sahaja.
“Saya sendiri kehilangan 41 ahli keluarga dalam dua serangan bom di kediaman mereka sepanjang operasi ketenteraan yang dilancarkan Israel kali ini,” katanya.
Ditanya mengenai pendirian rakyat Palestin yang enggan mematuhi arahan tentera Israel untuk berpindah ke kawasan Selatan, Sharif berkata, mereka sebenarnya mengambil iktibar daripada pengalaman lalu.
Menurutnya, pada tahun 1978, Israel mengambil alih beberapa tanah Palestin di Tebing Barat dengan menghalau keluar sementara penduduk asal di kawasan tersebut dan berjanji membenarkan mereka pulang selepas beberapa bulan.
“Bagaimanapun, ia hanyalah taktik kotor rejim Zionis untuk mengambil alih tanah tersebut, rakyat Palestin yang meninggalkan rumah mereka pada masa itu kini menjadi pelarian, langsung tidak dibenarkan pulang sehingga hari ini.
“Berdasarkan pengalaman itu, sekitar 500,000 rakyat Palestin di utara Gaza enggan menuruti arahan tentera Israel. Mereka lebih rela mati di tanah sendiri daripada menjadi pelarian di negara orang,” katanya.
Berdasarkan fakta dan senario dikemukakannya, Sharif berkata, beliau tidak bersetuju jika peperangan kali ini digelar Nakba 2.0 sebaliknya apa yang berlaku hari ini jauh lebih dahsyat berbanding Nakba 1948. – UTUSAN











