PETALING JAYA: Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 akan dilaksanakan bermula pada 2 Januari 2024.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, peperiksaan STAM 2023 akan bermula pada 2 hingga 4 Januari dan bersambung semula pada 8 sehingga 11 Januari 2024.
Menurutnya, seramai 4,058 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2023 di 131 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 824 orang petugas peperiksaan telah dilantik.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM 2023 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, KPM turut mengingatkan semua calon STAM 2023 membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan, selain mematuhi prosedur operasi standard serta peraturan ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan.
Katanya, kementerian cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan STAM 2023 berlangsung.
“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
“Semua calon peperiksaan STAM 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” jelasnya.
Tambahnya, KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan Sejahtera,” katanya. – UTUSAN