Pengarah jual minyak diesel didenda RM200,000

Pengarah jual minyak diesel kepada syarikat tanpa lesen didenda RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengarah sebuah syarikat pemborong barang berjadual minyak diesel dikenakan hukuman denda RM200,000 di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Ia atas pertuduhan menjual diesel kepada syarikat yang tidak memiliki lesen atau kelulusan daripada Pengawal Bekalan, pada bulan Julai lalu.

Hakim, Mazni Nawi menjatuhkan hukuman itu terhadap MCM Petroleum Sdn. Bhd. selepas pengarah syarikat tersebut, Man Wee Wong, 35, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Wee Wong selaku pengarah syarikat didapati telah menjual barang kawalan berjadual iaitu diesel kepada HHR Setia Sdn. Bhd. yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

Kesalahan itu dilakukan di premisnya di Port Dickson pada 5 Julai lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melanggar Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM5 juta.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN