Penerima eMadani guna RM100 beli barang keperluan

Penerima eMadani guna RM100 beli barang keperluan

SEORANG peniaga gerai makanan, Syazlien Che Hussain mula menebus eMadani RM100 selepas dikreditkan ke dalam platform pilihan beliau. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemberian kredit eMadani RM100 dapat membantu meringankan beban rakyat terutama dalam membeli barang keperluan dan pada masa sama menggalakkan mereka menggunakan kemudahan e-dompet.

Memetik laporan FMT, para penerima kredit itu menyifatkan inisiatif tersebut juga akan membolehkan mereka berbelanja lebih sedikit daripada kebiasaan.

“Katakanlah, setiap hari saya makan di restoran mamak, dengan kredit e-dompet saya boleh pergi ke kafe sebagai ganti,” kata Toriah Mansur, 29.

Pegawai khidmat pelanggan Karthigai Sivakumar, 24, pula berkata, kredit RM100 itu akan membantunya membeli barangan untuk anak terutama apabila gajinya habis.

“Sebagai seorang yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, ada banyak komitmen perlu ditanggung jadi sudah tentu kita boleh menggunakannya untuk masa depan,” katanya.

Bawah inisiatif eMadani, rakyat berumur 21 tahun ke atas yang memperoleh pendapatan tahunan kurang RM100,000 layak menebus e-kredit RM100.

Setakat ini, lebih tujuh juta memohon kredit eMadani, yang dijangka memberi manfaat kepada 10 juta orang dengan kos keseluruhan kepada kerajaan RM1 bilion.

Mereka yang layak mempunyai tempoh hingga 20 Februari tahun depan untuk menebus kredit melalui empat penyedia e-dompet: MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Farah Hayati, 25, berkata “wang saku tambahan” adalah langkah jangka pendek yang baik.

“Anda boleh menggunakan duit itu untuk makan tengah hari, makan malam dan perbelanjaan lain untuk pengangkutan,” katanya.

Pekerja sambilan, Mohd Salman, 32, berkata, inisiatif itu akan memberi rangsangan kepada ramai orang terutama golongan belia kerana ramai daripada mereka membeli barangan secara dalam talian.

“Bagi sesetengah orang, RM100 itu jumlah yang banyak. Akan ada yang menganggap ia adalah jumlah kecil tetapi ramai lagi akan melihatnya sebagai jumlah yang besar.”

Moderator kandungan, Arvin Raw, 27, berkata nilai inisiatif itu melangkaui e-kredit RM100 kerana ia akan memudahkan penggunaan transaksi tanpa tunai, terutama dalam kalangan pengguna kali pertama.

“Jika mahu menggunakannya, mereka perlu mendidik diri sendiri tentang cara mengaksesnya di platform e-dompet.

“Jadi ia membantu orang yang tidak terlibat dalam urus niaga tanpa tuna,” katanya.

Haiza Shahfinaz, 26, yang bekerja sebagai pramugari kereta api berkata, eMadani juga akan menggalakkan warga emas untuk mula menggunakan e-dompet daripada membawa wang tunai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN