Penduduk di Terengganu dinasihat waspada jangkaan hujan lebat - Utusan Malaysia

Penduduk di Terengganu dinasihat waspada jangkaan hujan lebat

KEADAAN ombak bergelora di Pantai Kelulut, Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penduduk di negeri ini perlu lebih berwaspada berikutan jangkaan hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin depan yang berisiko menyebabkan banjir gelombang ketiga.

Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria @ Che Kob berkata, berdasarkan kepada imej satelit terkini, kelompok awan hujan yang aktif masih tertumpu di tengah Laut China Selatan.

Menurutnya, kawasan penumpuan ini sedikit sebanyak menyerap impak luruan monsun yang sedang berlaku.

“Kelompok awan aktif beserta angin kencang tersebut dijangka memasuki Terengganu bermula hari ini. Hujan lebat atau sangat lebat secara berterusan dan menyeluruh boleh berlaku hingga Isnin depan.

“MET Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca dan akan mengemaskini amaran dari semasa ke semasa,” katanya.

Baru-baru ini, pihak berkuasa meramalkan banjir gelombang ketiga dijangka melanda Terengganu dalam tempoh 22 Disember hingga 26 Disember ini berikutan pertembungan ribut Jelawat dan angin tropika di Laut China Selatan.

Banjir gelombang pertama mula melanda Terengganu pada 20 November lalu dan berakhir pada 30 November melibatkan tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun, Besut, Marang dan Kemaman.

Kemuncak banjir ialah pada 22 November kerana 32 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka serentak ketika itu menempatkan 4,787 mangsa daripada 1,260 keluarga di enam daerah.

Banjir gelombang kedua pula bermula pada 14 Disember melibatkan enam daerah iaitu Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Dungun, Marang serta Kemaman dan tamat sepenuhnya pada 19 Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya