Penduduk bimbang kejadian gajah 'naik minyak' berulang

Penduduk bimbang kejadian gajah ‘naik minyak’ berulang

CHE Hussain Che Kob menunjukkan kawasan kolam ikan yang menjadi tempat gajah mandi di kebunnya di Kampung Sungai Bayu Dalam, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 40 penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam di sini diselubungi kebimbangan selepas seorang pekerja ladang warga Indonesia maut dipijak seekor gajah yang ‘naik minyak’ di kawasan ladang getah berhampiran penempatan mereka pada Isnin lalu.

Seorang warga emas, Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, berkata, kebimbangan itu ada asasnya kerana hidupan liar tersebut dipercayai masih bebas berkeliaran di kawasan ladang dan hutan berhampiran kampung.

Menurutnya, menyulitkan lagi keadaan kawasan rumahnya hanya terletak kira-kira 500 meter dari kawasan ladang berkenaan.

“Saya terkejut mendengar khabar seorang pekerja warga Indonesia maut selepas mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk akibat diserang gajah liar yang mengamuk.

“Tiga bulan lalu, saya pernah melihat seekor gajah mandi di kawasan kolam ikan di kawasan kebun sebelum bertindak menghalaunya. Gajah itu juga telah merosakkan tebing kolam dan jaring ikan,” katanya ketika ditemui di sini semalam

Seorang lagi penduduk, Mek Som Awang, 73, memberitahu, seekor gajah liar juga pernah menghampiri rumahnya dan mencabut ubi kayu yang ditanamnya pada waktu malam.

Katanya, dia juga tidak pasti gajah itu adalah gajah serupa yang menyerang mangsa.

“Sebelum ini, penduduk lain pernah mengalami kerugian selepas tanaman mereka seperti pisang, ubi kayu dan pokok buah-buahan dirosakkan gajah liar.

“Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap dan memindahkan gajah liar berkenaan kerana boleh mengancam nyawa dan merosakkan hasil tanaman yang menjadi sumber pendapatan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, orang awam perlu mengehadkan aktiviti luar dan tidak menjalankan aktiviti di kawasan hutan yang boleh mengundang risiko.

Katanya, beliau meminta penduduk supaya berhati-hati dan mengehadkan dulu aktiviti di kawasan berisiko ancaman haiwan liar.

Kelmarin, seorang lelaki warganegara Indonesia maut dipercayai diserang seekor gajah liar dalam kejadian di kawasan ladang getah di Sungai Bayu di sini pada Isnin.

Mangsa, Sandra Kirana Sinaga, 39, yang bekerja di ladang itu dijumpai terbaring dan tidak sedarkan diri di kawasan ladang tersebut kira-kira pukul 9.45 malam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN