Pemilihan: Amanah tidak retak 

Pemilihan: Amanah tidak retak 

MUJAHID Yusof (tengah) semasa hadir Konvensyen  Negeri Perak Amanah di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH:  Desas-desus mengenai pertukaran Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menyebabkan perpecahan dalaman parti berkenaan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof  berkata, kebanyakan ahli parti itu sudah biasa dengan situasi pemilihan tampuk kepemimpinan ketika berada di dalam Pas.

Katanya, beliau optimis dengan keadaan tersebut menjelang pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026, serentak penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 dari 22 hingga 24 Disember ini.

“Tiada isu, sebab parti Amanah akan melantik 27 yang tertinggi (pemimpin) dan dalam kalangan 27 itu, mereka memilih siapa yang layak untuk menjadi Presiden.

“Jadi untuk wakil ini tiada isu. Mereka akan lantik 27 orang ini sahaja, tidak (bukan) lantik untuk jawatan,” katanya kepada pemberita semasa hadir ke Konvensyen  Negeri Perak Amanah di sini hari ini.

Sejak beberapa bulan lalu, timbul khabar angin  pemilihan dalaman Amanah pada hujung tahun ini bakal menyaksikan pertukaran Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Pada pemilihan sesi 2019-2022 lalu, Mat Sabu diangkat sebagai Presiden parti meskipun hanya berada pada kedudukan ketujuh tertinggi mendapat undian perwakilan, berbanding Mujahid di tempat keempat.

Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah mencuri perhatian apabila dikatakan proses itu juga menentukan siapakah bakal  mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Julai lalu.

Sementara itu, Mujahid memberi perhatian terhadap hubungan peringkat akar umbi antara partinya dengan Barisan Nasional (BN) yang dilihat beliau masih berlaku jurang sambil menyifatkannya seperti ‘malu-malu kucing’.

“Memang betul, khususnya dengan BN. Kita baru kali pertama hendak duduk sekali. Memang ada sedikit jurang, walaupun kami di peringkat atasan okay,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.