KOTA KINABALU: Pemberian hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara tidak akan terpakai untuk generasi seterusnya yang lahir daripada keluarga berkenaan.
Sekiranya hak kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara, generasi seterusnya masih perlu mengemukakan permohonan mendapatkan hak kewarganegaraan di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu antara langkah kawalan yang ditetapkan dalam memastikan tiada individu yang mempunyai dua kewarganegaraan.
“KDN juga melihat contoh-contoh di negara lain. Apabila mereka melakukan pindaan macam kita, pemakaiannya adalah secara ke hadapan, bermaksud anak daripada ibu ini, anaknya itu warganegara secara kuat kuasa undang-undang tetapi, cucu, cicit dan puitnya masih boleh menjadi warganegara tetapi, mesti membuat permohonan.
“Kalau tidak ia akan berterusan tiada kawalan,” katanya ketika ditanya mengenai isu dua kewarganegaraan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Baitul Mahabbah di Depot Tahanan Imigresen Papar hari ini.
Menurut beliau, jika dilihat undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.
Justeru, pada masa ini kerajaan sedang melakukan pindaan Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.
“Pada masa ini, apabila isteri warganegara Malaysia dan suami warganegara asing, anak yang lahir di luar negara mengikut undang-undang sekarang kewarganegaraan anak adalah mengikut bapa.
“Katakanlah bapa itu Australia maka, anak itu warganegara Australia. Namun, apabila kita pinda Perkara 14(1)(b), anak itu boleh mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik..secara penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, cadangan KDN adalah apabila anak itu berusia 18 tahun, dia berhak untuk membuat keputusan bagi memilih kewarganegaraan mengikut bapa atau ibu. Namun, dia perlu memaklumkan kepada kerajaan kerakyatan yang ingin dipilih.
Semalam, Saifuddin menyatakan Jabatan Peguam Negeara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing. –UTUSAN