Pasaran kerja di Parit Sulung laku keras

Pasaran kerja di Parit Sulung laku keras

MOHD. Hairi Mad Shah (kiri) melawat kaunter syarikat yang menawarkan pekerjaan dalam Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Pendidikan Batu Pahat di Dewan Taman Industri Sri Sulong di Batu Pahat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: 500 jawatan kosong yang ditawarkan melalui Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Pendidikan Batu Pahat 2023 penuh dalam masa tiga jam selepas diserbu kira-kira 1,500 pencari kerja di sekitar Parit Sulong. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, semua pekerjaan yang ditawarkan adalah di sekitar Batu Pahat perlu diambil kesempatan oleh pencari kerja kerana terletak tidak jauh dari kediaman masing-masing. 

Katanya, sambutan luar jangka terhadap program julung kali diadakan di Parit Sulong ini menggambarkan permintaan tinggi daripada penduduk setempat yang bersesuaian dengan taraf pendidikan mereka. 

“Saya amat yakin, pendekatan seperti ini dapat membantu anak-anak jati Batu Pahat untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian. 

“Saya juga dimaklumkan sebanyak 119,839 jawatan aktif direkodkan di portal Myfuturejobs dan daripada itu, 11,271 jawatan adalah dalam negeri Johor,” katanya kepada media hari ini. 

Hairi berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Pendidikan Batu Pahat di Dewan Taman Industri Sri Sulong di Batu Pahat hari ini. 

Menurutnya, melalui penganjuran karnival ini juga, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara tidak langsung berkongsi aspirasi bersama kerajaan negeri Johor dalam memberikan perlindungan sosial kepada rakyat melalui rangkaian aktanya. 

Ujarnya, program yang turut membuka peluang kepada agensi kerajaan serta institusi pendidikan bertemu dengan masyarakat di Parit Sulong ini juga memberi pendedahan kepada pelajar, belia dan pencari kerja untuk mengetahui lebih mendalam mengenai perkhidmatan dan kursus ditawarkan. 

“Diharapkan dengan pelaksanaan karnival ini akan dapat membantu membina kerjaya anak-anak muda seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Johor. 

“Karnival ini juga akan lebih giat dijalankan secara besar-besaran di setiap daerah pada tahun hadapan bagi membolehkan semua pencari kerja mendapat manfaat daripada peruntukan dalam belanjawan 2024 baru-baru ini,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN