PETALING JAYA: Pas hairan bagaimana seorang ahli Parlimen kerajaan yang dilihat tidak peka terhadap proses undang-undang dan tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataannya yang cenderung mencetuskan kontroversi berhubung cadangan bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai satu lagi siri kegagalan kerajaan dalam mengawal naratif anggota wakil rakyat sendiri.
Beliau menegaskan, Pas sebelum ini sering kali memberi peringatan bahawa tindakan berterusan begini berpotensi mencetuskan polemik dan ketidakharmonian berpanjangan kaum dan agama dalam masyarakat yang seharusnya dihindari sepenuhnya.
“Kita patut insaf dan bersyukur kerana selaras dengan ajaran Islam itu sendiri, sehingga kini masyarakat majoriti di negara ini tidak pernah menimbulkan suasana konfrontasi atau dilihat mencampuri urusan mana-mana ajaran dan amalan agama lain.
“Sikap yang sama haruslah bertimbal-balik dan menjadi pegangan serta amalan semua pihak kerana tindakan sebaliknya hanya akan merosakkan keharmonian yang ada dan seterusnya menjadi bom jangka yang boleh memusnahkan semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Beliau menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Oleh demikian, Takiyuddin berkata, pihaknya kesal dengan kecenderungan berterusan pemimpin DAP dengan membuat kenyataan-kenyataan bersifat mengundang polemik selain berpotensi besar mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
Katanya, Pas mendapati cadangan dan kenyataan Koo Ham tersebut adalah bukan sahaja sangat lewah dan tidak perlu, malah pramatang dan provokatif serta bersifat andaian semata-mata.
“Pas sentiasa bersikap terbuka dan percaya bahawa semua pihak harus memberi ruang yang secukupnya kepada jawatankuasa terbabit untuk menjalankan kajian dan libat urusnya berdasarkan terma lantikan yang dibuat tanpa sebarang gangguan atau perbuatan menabur tanggapan dan prasangka negatif terhadap kemampuan dan kompetensinya untuk apa-apa tujuan sekali pun,” katanya. – UTUSAN