Pas atau BN...Siapa pilihan rakyat Kemaman?

Pas atau BN…Siapa pilihan rakyat Kemaman?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu peralihan sokongan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan prestasi setahun Kerajaan Perpaduan dilihat tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok, sekali gus memberi gambaran awal terhadap isyarat mengekalkan kedudukan status quo ketika Pilihan Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun parti-parti Kerajaan Perpaduan berusaha memperkukuhkan penguasaan Dewan Rakyat menerusi kemenangan Kemaman, namun, misi itu dilihat mustahil berbanding kemenangan diraih ketika PRK Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan Pelangai.

Hal ini kerana Pas dijangka mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada esok kerana tiada momentum perubahan dalam kalangan pengundi terhadap kemaraan Gelombang Hijau sejak PRU15.

Namun begitu, Barisan Nasional (BN) boleh membuat kejutan pada saat-saat akhir meskipun misi itu dilihat mustahil dengan mengambil kira prestasi parti itu pada pilihan raya sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, pihaknya meramalkan Pas terus mendominasi Kemaman meskipun BN mengetengahkan calon ‘heavyweight’, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera.

Katanya, berdasarkan pengamatan pasukan pusat penyelidikan itu di lapangan mendapati Pas berada di hadapan berbanding lawan kerana beberapa faktor antaranya kempennya dan Perikatan Nasional (PN) lebih sederhana kerana berusaha mengekalkan momentum sokongan manakala jentera BN pula tidak begitu agresif memecahkan dominasi Gelombang Hijau di Terengganu.

“Selain itu, pola sokongan pengundi dalam tempoh kurang enam bulan daripada sesuatu pilihan raya kebiasaannya tidak akan berlaku banyak perubahan. Jika ada perubahan adalah satu keajaiban atau ada sesuatu isu memberikan impak besar kepada minda pengundi, namun setakat ini, tidak nampak pola perubahan itu berlaku ke arah calon BN.

“Faktor kedua, kempen hampir menjelang fasa kempen berakhir kelihatan amat sejuk dan sendu. Ini disumbangkan oleh faktor cuaca musim monsun yang melanda Pantai Timur menyebabkan mood pengundi lebih sejuk. Lebih banyak berada di rumah daripada keluar menyertai program kempen parti politik.

“Selain itu, kempen juga agak suram. Tiada isu besar yang menjadi kontroversi atau yang memberi impak kepada pengundi,” katannya.

PRK Parlimen Kemaman esok menyaksikan saingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi selaku calon BN dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada pilihan raya lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi manakala dua lagi calon bertanding iaitu Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.

Dalam pada itu, Hisommudin berkata, majoriti besar yang dimenangi oleh Pas dalam PRU-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah disumbangkan oleh segmen pengundi muda.

Katanya, pihaknya mendapati tidak melihat calon atau jentera BN menyantuni kumpulan yang sangat signifikan dalam demografi pengundi di Kemaman.

“Tiada tawaran atau gerak gempur kempen yang dihalakan kepada segmen ini. Dengan hujah ini, pada hemat saya, pola sokongan masih memihak kepada Pas. Dengan calon heavyweight yang dipertaruhkan kali ini sebagai tarikan untuk Pas mengekalkan status quo Parlimen Kemaman,” katanya.

Katanya, strategi BN meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera adalah satu langkah luar kebiasaan dan ia juga disifatkan pengundi sebagai calon yang yang boleh sedikit memberi cabaran kepada Ahmad Samsuri namun langkah itu tidak menghalang Pas daripada terus mengekalkan kemenangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN