MIRI: Dalam usaha memartabatkan seni tradisi dan budaya Sarawak, pemain industri perlu pelbagaikan pameran suku kaum yang ada di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelas beliau kementeriannya juga sedia memberi sokongan kepada pemain industri yang mahu mempelbagaikan persembahan kebudayaan dari pelbagai kaum dan bangsa.
“Oleh sebab itu, dalam apa-apa kita lakukan terutamanya di bawah kementerian yang menjaga warisan, kebudayaan dan kesenian, saya tidak akan berat sebelah dan adil kepada semua.
“Sesiapa yang datang sama ada masyarakat Melayu, Dayak atau komuniti kecil lain seperti Orang Ulu, kita akan sentiasa memberi sokongan untuk memastikan budaya, gaya hidup dan seni semua etnik di Sarawak dapat dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Nuansa Seni Vol 4: Persona 60 Tahun Warisan Melayu Sarawak di Miri, malam tadi.
Sehubungan itu, Abdul Karim menggesa agar usaha membangunkan atau mempamerkan warisan kebudayaan dan kesenian bukan hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja, namun pelbagaikan dalam mencerminkan negeri Sarawak yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Menurut Abdul Karim lagi, beliau tidak menafikan usaha memartabatkan seni persembahana kebudayaan yang ada di Sarawak dapat menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap warisan Sarawak.
“Dalam seni persembahan kebudayaan mahupun pertunjukan fesyen, ia dapat menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap warisan yang ada.
“Ia juga mampu memperkukuhkan kesatuan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, agama dan bangsa.
“Kesemua ini pasti membuat kita berasa bangga sebagai rakyat Sarawak. Oleh itu, kita harus menghargai sejarah, warisan dan budaya kita,” tambahnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, beliau turut menggesa agar penduduk di negeri ini terus hidup dalam menghormati antara kaum dan bersikap toleransi serta bersifat ekstrem agar setiap orang mempunyai semangat kekitaan sekali gus mengekalkan perpaduan kaum di Sarawak. –UTUSAN