JASIN: Kerajaan negeri melalui anak syarikat Pembangunan Pertanian Negeri Melaka, Melaka Beef Farm Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk menangkap dan menguruskan haiwan ternakan terbiar di sekitar daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini MPJ merekodkan sebanyak 166 aduan berkaitan lembu berkeliaran dengan tujuh operasi tangkapan telah dilaksanakan sepanjang 2023.
Kata beliau, statistik itu membimbangkan kerana mengancam keselamatan orang awam terutama pengguna jalan raya.
“Sebanyak 24 kes kemalangan membabitkan lembu berkeliaran telah direkodkan tahun ini. Paling menyedihkan apabila melibatkan kehilangan nyawa dan tiada penternak yang tampil bertanggungjawab.
“MPJ sudah nasihat dan keluar pelbagai notis tetapi masih lagi berlaku. Langkah seterusnya kita akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat dan tegas melalui penubuhan skuad ini yang turut disertai penguatkuasa MPJ.
“Melaka Beef Farm mempunyai kepakaran untuk menangkap dan menjaga haiwan ternakan. MPJ pula akan menurunkan kuasa kepada skuad ini untuk menangkap lembu yang berkeliaran dan menempatkan haiwan itu di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Usahasama Pengurusan Ternakan Terbiar Daerah Jasin di sini, hari ini.

Tambah Muhamad Akmal, petugas diletakkan dalam keadaan siap siaga dan akan bertindak jika mendapat aduan.
Menurutnya, lembu yang ditangkap akan dibawa ke lokasi selamat manakala MPJ bertindak mengeluarkan notis kepada pemilik untuk mengambil semula lembu mereka.
“Kita bukan hendak merampas harta atau lembu mereka tetapi ini sebagai cara untuk mendidik penternak supaya lebih bertanggungjawab. Tugas kami adalah melaksanakan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Kita menyasarkan untuk mengurangkan kes-kes kemalangan melibatkan lembu terbiar. Usahasama ini adalah projek perintis dan kalau berjaya kita akan cadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain,” ujarnya. – UTUSAN