Mayat terbiar bergelimpangan di Gaza

Mayat terbiar bergelimpangan di Gaza

Malaysia perlu menggerakkan usaha agar mengaktifkan Resolusi 377 (A) Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi kehidupan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terus memburuk apabila ada pelarian bukan sahaja terpaksa tidur bersama mayat ahli keluarganya yang terkorban bahkan banyak mayat bergelimpangan di hampir keseluruhan wilayah bergolak tersebut kerana tidak dapat dikebumikan.

Dalam keadaan yang semakin sukar, keutamaan rakyat Palestin kini bukanlah keperluan asas seperti makanan, air, elektrik jauh sekali rangkaian internet sebaliknya mereka perlu untuk terus hidup.

Begitulah gentingnya keadaan kehidupan kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin pada hari ke-65 kezaliman rejim Zionis terhadap penduduk di Semenanjung Gaza yang sehingga hari ini tidak berkesudahan.

Berkongsikan keadaan tersebut kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, rakyat Palestin kini diasak sehinggakan hampir 1.9 juta daripada mereka kini berlindung di sekitar Rafah.

Menurutnya, rejim Zionis kini menfokuskan operasinya di tiga kawasan utama iaitu utara Gaza di Jabalia, Bandar Gaza serta kawasan selatan di Khan Younis.

“Sebelum ini, orang Palestin lari meninggalkan kediaman masing-masing menuju ke Khan Younis dan Rafah untuk berlindung tetapi kini hampir semua mereka terpaksa berpindah ke Rafah.

“Pada masa sama, berdasarkan maklumat dari saudara-mara yang masih berada di Gaza, mereka mengatakan bahawa ada cubaan daripada rejim Zionis untuk menghalau rakyat Palestin menuju ke Sinai, Mesir tetapi kerajaan Mesir masih tidak membenarkannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, lelaki Palestin juga kini menjadi sasaran tentera Zionis untuk proses ‘pemutihan’ bagi mendapatkan maklumat pergerakan pejuang Hamas dan lain-lain.

“Mereka ditahan beramai-ramai, dibogelkan dan disoal-siasat untuk mengenalpasti jika terbabit dengan pejuang Hamas. Ada di antara mereka dibebaskan dan ada juga yang ditahan tanpa alasan,” katanya.

Mengulas mengenai bekalan keperluan harian untuk rakyat Palestin, Muhammad Nadir berkata, makanan dan air bersih bahkan susu untuk bayi sangat terhad ketika ini.

Menurutnya, walaupun ada bantuan dihantar melalui pintu sempadan Rafah namun jumlahnya amat sedikit berbanding kapasiti sebenar keperluan rakyat Palestin yang kini serba kekurangan daripada semua aspek.

“Bekalan yang ada di dalam Gaza sendiri sudah hampir kehabisan pada masa sama bantuan dari luar tidak begitu dirasai kerana mungkin disebabkan sekatan dan peningkatan penduduk di Rafah secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Israel tampak menguasai tanah Gaza namun di kawasan-kawasan yang mereka operasikan tenteranya mendapat tentangan hebat daripada pejuang Hamas khususnya di utara Gaza.

“Berlaku pertempuran sengit antara tentera Zionis dengan pejuang Hamas di banyak kawasan dan ia masih berterusan. Kita doakanlah supaya mereka akan berjaya mempertahankan tanah air sendiri,” katanya.

Justeru, Muhammad Nadir meminta seluruh rakyat Malaysia untuk teruskan menyumbang kepada rakyat Palestin supaya bantuan dapat dibekalkan secara berterusan bagi kesinambungan kehidupan mereka khususnya wanita dan kanak-kanak. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN