KLANG: Identiti mayat wanita yang disimen dalam kolah tandas sebuah rumah di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran di sini, dikenalpasti sebagai warganegara India berusia lingkungan 30-an.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah membuat kesimpulan kes itu dengan mengenalpasti mangsa dan suspek.
“Wanita yang berketinggian 160 sentimeter (cm) itu merupakan teman wanita suspek yang menyewa rumah berkenaan dan mereka tinggal bersama.
“Polis sedang memohon bantuan Kedutaan India bagi mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan menghubungi pihak keluarga,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Malam Ahad lalu, suasana di kampung itu gempar dengan penemuan mayat mangsa yang ditanam dan disimen dalam kolah sehinga terpaksa dipecahkan bomba selama dua jam.
Polis tidak menolak kemungkinan dua lelaki asing yang diburu polis disyaki menyimen wanita berkenaan lebih setahun lalu dan dibunuh dalam tempoh tersebut.
Seorang daripada dua lelaki warga asing yang diburu polis dipercayai telah pulang ke negara asalnya sejak September lalu.
Hasil bedah siasat Hospital Shah Alam mendapati punca kematian mangsa simen disebabkan tekanan pada leher.
Mengulas lanjut, kata Hussein, suspek turut dikenalpasti sebagai lelaki warga India yang juga teman lelaki mangsa.
“Maklumat mengenai suspek telah diketahui dan waran tangkap akan diperolehi. Kita akan meminta bantuan kedutaan India dan polis India bagi mengesan sekali gus menahan suspek berkenaan,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya sudah menahan tiga suspek termasuk seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Kita setakat ini merekodkan keterangan 10 individu dan polis menunggu untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau mengenali mangsa diminta menghubungi balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN










