Mangsa umrah tipu desak polis maklum perkembangan

Mangsa umrah tipu desak polis maklum perkembangan

Hishamuddin Hashim (tengah) bersama mangsa penipuan pakej umrah menuntut keadilan di pekarangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 179 mangsa penipuan sebuah syarikat pengendali umrah mendesak polis memaklumkan perkembangan baharu berhubung siasatan kes itu yang turut dikaitkan dengan sebuah syarikat ternama.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kerugian yang dialami mangsa kini mencecah RM1.2 juta selain terdapat mangsa yang belum diterbangkan menunaikan umrah sejak 2019.

Katanya, walaupun ratusan laporan polis telah dibuat mangsa sejak Mac hingga Oktober tahun ini, pihak polis didakwa mengklasifikasikan kes sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain atau ‘Refer to Other Agency’ (ROA) iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Selain itu, pelbagai janji termasuk cek dan jadual penerbangan semula dibatalkan beberapa kali syarikat itu.

“Jadi mengapa kes ini ROA sedangkan ini jelas satu jenayah apabila mangsa diperdaya dan ditabur pelbagai janji.

“Justeru, kita hadir hari ini bagi menyerahkan surat permohonan perkembangan semasa di bawah Seksyen 107 A di bawah Kanun Tatacara Jenayah selain menuntut pihak polis menjawab persoalan yang diajukan berkaitan kes pakej umrah yang telah memperdaya ribuan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri 179 mangsa di Menara KPJ, di sini, semalam.

Susulan itu, Hishamuddin menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap syarikat tersebut di bawah Seksyen 415 dan 420 Kanun Keseksaan kerana jelas melakukan jenayah penipuan dan pecah amanah.

“Pengadu berhak memohon maklum balas 14 hari selapas daripada tarikh laporan dilakukan, adakah kes mereka masih ROA atau masih dalam siasatan. Kita minta jawapan kerana kita hanya mewakili mereka,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menolak tohmahan orang ramai yang mendakwa majoriti mangsa penipuan umrah mengambil pakej tambang murah.

Jelasnya, rata-rata mangsa yang terlibat mengambil pakej mengikut harga pasaran yang mencecah RM10,000 hingga RM20,000 setiap seorang.

“Ini bukan pakej murah, kalau ada tohmahan mangsa ambil pakej murah, mereka salah. Malah ada mangsa yang bayar lebih mahal daripada harga semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN