Mahasiswa AIU bantu tambah ekonomi penduduk kampung

Mahasiswa AIU bantu tambah ekonomi penduduk kampung

ABD. AZIZ Tajuddin ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-3 AIU di Dewan Konvokesyen kampus Universiti Antarabangsa Albukhary di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penglibatan mahasiswa Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) dalam membangunkan komuniti telah menghasilkan kejayaan dan menambah baik ekonomi masyarakat setempat di beberapa kawasan.

Naib Canselor AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, langkah itu didorong oleh agenda ‘social business’ yang diterapkan dalam diri setiap warga universiti.

Menurutnya, penglibatan mahasiswa AIU dalam membantu perusahaan kerepek dihasilkan penduduk kampung dan cili fertigasi di Baling misalnya, telah memberikan impak besar kepada masyarakat setempat.

“Perusahaan Kerepek Mak Lang sebagai contoh, telah berjaya memacu perniagaan keluarga ke tahap lebih baik dan membantu menangani isu kemiskinan di kawasan setempat dengan mengambil golongan ibu tunggal bekerja dengan mereka.

“Projek Cili Fertigasi Amirul juga telah menghasilkan pendapatan lumayan dan tidak lama lagi dijangka menghasilkan ‘ripple effect’ kepada tujuh lagi peserta, sekali gus mencambah harapan dan keyakinan buat komuniti di situ,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-3 AIU di Dewan Konvokesyen kampus universiti berkenaan di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Canselor AIU, Prof. Muhammad Yunus yang jugas pengasas Grameen Bank dan penerima Hadiah Nobel Keamanan.

Tambahnya, pelan tindakan dari Makmal Reka Bentuk Perniagaan Sosial (Social Business Design Lab) termasuk latihan pemasaran digital selama tiga bulan dan penghasilan video korporat perniagaan oleh para mahasiswa merupakan antara langkah yang membawa kepada kejayaan itu.

“Langkah itu kini diteruskan bersama Mohida Enterprise, sebuah perniagaan keluarga dalam perusahaan kecil sederhana (SME) diketuai Husni Mohd. Isa. Syarikat itu menghasilkan sos cap ‘Lembu Berlaga’.

“Sedar akan kekurangan dimilikinya dalam strategi pemasaran digital berbanding pesaing, Husni mendapatkan bantuan dari AIU untuk meningkatkan keterlihatan jenama (brand visibility) dan jualan,” katanya.

Mengulas lanjut Abd. Aziz berkata, Fakulti Komputer dan Informasi AIU juga kini giat terlibat dalam banyak projek komuniti di Baling dan Sik bagi projek kelas masing-masing.

“Antaranya, mereka banyak terlibat dalam penyelesaian masalah penuaian dan perikanan menggunakan teknologi internet kebendaan (IoT).

“Melalui projek-projek tersebut, beberapa hari lalu kalangan individu terlibat telah menerima Anugerah Kecemerlangan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan penglibatan aktif mereka dalam projek komuniti berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, seramai 221 graduan diraikan dalam majlis tersebut dengan 84 peratus daripadanya merupakan mahasiswa antarabangsa dan selebihnya graduan tempatan.

“Secara keseluruhannya, graduan hari ini hadir dari 29 negara dan latar belakang. Sukacita dimaklumkan, ini juga merupakan konvokesyen sulung buat dua program di AIU iaitu Sarjana Muda Komputer Sains (Kepujian) serta Sarjana Muda Komunikasi dan Media (Kepujian).

“Graduan dari dua bidang ini telah mendapat perhatian dari pelbagai institusi serta pemain industri. Dua graduan Sarjana Muda Sains Komputer dari Indonesia dan Myanmar misalnya kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di salah sebuah daripada 150 universiti terbaik di dunia iaitu Universiti Sains dan Teknologi Huazhong di China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN