BERLIN: Pelakon, Lupita Nyong’o bakal mengetuai barisan juri sempena Festival Filem Antarabangsa Berlin yang dijadualkan berlangsung pada Februari, tahun depan.
Perkara itu dikongsikan penganjur dalam kenyataan, baru-baru ini.
“Nyong’o mencerminkan apa yang kita sukai dalam dunia perfileman: versatiliti dalam menghidupkan pelbagai projek (filem), memenuhi jangkaan audiens dari pelbagai latar belakang dan konsisten mempersembahkan dirinya sendiri,” kata pengarah eksekutif, Mariette Rissenbeek.
Nyong’o dalam responsnya terhadap pemilihan itu memaklumkan berbesar hati dan teruja untuk meraikan dan mengiktiraf kerja perfileman seluruh dunia menerusi festival tersebut.
Untuk rekod, pelakon kelahiran Mexico tersebut sebelum ini pernah merangkul anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 2014.
Selain berlakon, beliau juga merupakan penerbit, pengarah filem serta penulis bagi buku kanak-kanak, Sulwe.