PETALING JAYA: Pakar-pakar perubatan berpendapat tempoh lima tahun untuk mendidik rakyat yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007 tidak merokok dan merealisasikan Generasi Penamat Perokok (GEG) tidak mencukupi.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, ini kerana masih ramai kalangan ibu bapa dalam tempoh itu merokok atau menghisap vape sekali gus perbuatan tersebut menjadi contoh kepada anak-anak.
Menurut beliau, tabiat merokok atau hisap vape dalam kalangan masyarakat ketika ini seperti perkara biasa walaupun kerajaan mengaitkan tabiat itu menjejaskan tahap kesihatan awam dan diri sendiri.
Malaysia mencatatkan lima juta rakyat negara ini adalah perokok yang merokok menggunakan produk tembakau, manakala anggaran 1.5 juta lagi penghisap vape.
Kata beliau, penguatkuasaan undang-undang yang lemah turut membuat para perokok masih bebas merokok di premis makanan.
“Walaupun sudah ada undang-undang yang memang melarangkan merokok di restoran dan beberapa tempat awam ada sahaja masih berlaku.
“Sebahagian besar mufti dari negeri-negeri tertentu pula sebelum ini telah mefatwakan merokok adalah haram, namun tiada penguatkuasaan serius daripada pihak berkuasa agama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, kata beliau, usaha menamatkan generasi perokok terhalang apabila terdapat sebahagian penyelidik atau ahli akademik menerima dana penyelidikan daripada syarikat tembakau mahupun vape.
Semalam akhbar ini melaporkan, pendekatan mendidik bagi tempoh lima tahun
akan menjadi kaedah alternatif kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merealisasikan GEG.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu adalah bagi memastikan masalah merokok dalam kalangan remaja dapat dibendung dengan berkesan.
Sehubungan itu, Malina berkata, negara memerlukan masa lebih dari lima tahun bagi kempen kesedaran bahawa merokok dan vape adalah tidak normal dan tidak boleh ditafsirkan sebagai benda yang sihat.
“Perkara ini memerlukan komitmen semua pihak, malah kita perlu bertindak berdasarkan realiti yang bersesuaian, bukan semata-mata mengikut emosi.
“Justeru, saya mengesyorkan untuk kempen segera perlu dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada GEG semata-mata namun dalam masa yang sama kempen kesedaran yang lebih hebat dan serius kepada ikon teladan kanak-kanak dan remaja yang masih merokok atau vaping perlu diperkemas dan diperhebatkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sasaran GEG yang hanya kepada generasi yang lahir pada tahun 2007 adalah tidak adil kerana perlaksanaan itu hanya memfokuskan kepada mereka yang tidak mampu membuat keputusan, sedangkan mereka yang lebih berautoriti, kekal mengamalkan rokok dan vape.
Justeru, beliau mencadangkan untuk memulakan kempen yang lebih konsisten dengan perubahan polisi dan peraturan undang-undang berdasarkan perubahan penerimaan masyarakat, seperti modul yang digunakan di SIngapura.
Selain itu, katanya usaha untuk memperhebat kesedaran di kalangan individu dalam masyarakat serta pemegang taruh dalam kesihatan awam perlu dilaksanakan dengan lebih serius. – UTUSAN










