KUCHING: Meskipun Sarawak memperkasakan ekonomi digitalnya, usaha membendung dan mencegah daripada terjebak dalam jenayah siber tidak pernah diambil ringan.
Justeru, melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), sebuah Unit Keselamatan Siber akan ditubuhkan sebagai langkah pencegahan kepada perkara tersebut.
Pengurus Besar SMA, Datuk Dr. Anderson Tiong Ing Heng berkata, data daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak menunjukkan trend jenayah siber di Sarawak meningkat sebanyak 300 kes dalam tempoh 11 bulan tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Sebanyak 1,901 kes jenayah siber direkodkan pada 1 Januari hingga 30 November lalu berbanding 1,601 kes dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun 2022.
“Manakala, daripada 1,901 kes yang direkodkan pada tahun ini, sebanyak 552 kes melibatkan jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud (299 kes), phone scam (252 kes), love scam (51), penyamaran (86), e-kewangan (136), pelaburan tidak wujud (252 kes) dan tawaran kerja sebanyak 273 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘flag off’ acara Larian Kesedaran Keselamatan Siber SMA sempena dengan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Tegasnya lagi, perkara yang paling asas untuk mengelakkan menjadi jenayah siber ialah orang ramai diingat supaya tidak berkongsi maklumat peribadi hanya melalui panggilan telefon.
“Justeru, kerajaan Sarawak sedang mempercepatkan pelaksanaan Rangka Kerja Keselamatan Siber melalui Unit Keselamatan Siber yang memfokus kepada tadbir urus berkesan, dasar dan pematuhan.
“Selain itu, kita sebagai sebuah kerajaan yang memperkasakan ekonomi digital akan berterusan mendidik masyarakat agar melayari internet secara selamat,” jelasnya.
“Ini kerana urusan rasmi agensi-agensi kerajaan tidak mengguna pakai panggilan telefon,” tambahnya.
Seramai 2,000 peserta yang menyertai Hari Kesedaran Keselamatan Siber. -UTUSAN