Lelaki tetak mati ibu saudara dituduh membunuh di hospital - Utusan Malaysia

Lelaki tetak mati ibu saudara dituduh membunuh di hospital

PERTUDUHAN terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun yang didakwa membunuh seorang wanita yang juga ibu saudaranya dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP), George Town, pagi ini.  - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN:  Pertuduhan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun yang didakwa membunuh seorang wanita yang juga ibu saudaranya dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, pagi ini.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin di Wad C2, Jabatan Ortopedik, HPP; kira-kira pukul 12.50 di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Pertuduhan terhadap suspek yang bekerja sebagai operator kilang  mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu terpaksa dilakukan di hospital memandangkan suspek perlu mendapatkan rawatan akibat kecederaan selepas bertindak terjun dari jambatan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Majistret Siti Zulaikha turut menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian Selasa lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 42 tahun maut ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Raja Uda,  Butterworth, dekat sini.

Suspek kemudian bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus selepas kejadian dipercayai untuk membunuh diri, namun diselamatkan nelayan sebelum ditahan Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) dan dtahan reman selama tujuh hari.

Difahamkan, suspek bertindak menetak mangsa kerana marah ibu saudaranya itu menghalang hubungan percintaan lelaki berkenaan dengan anak wanita tersebut.

Sementara itu, video kejadian suspek yang diselamatkan nelayan selepas kejadian tetak tersebut turut tular di dalam media sosial. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya