Lelaki mengaku bersalah abai empat anak

Lelaki mengaku bersalah abai empat anak

KAMARUL Kamil Abd. Rifin didakwa meninggalkan empat anaknya tanpa jagaan minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang ditahan sebelum ini kerana meninggalkan empat anaknya tanpa jagaan minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Kamarul Kamil Abd. Rifin, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pengabaian ke atas empat kanak-kanak berusia 11 tahun, enam tahun, tiga tahun dan bayi berusia 10 bulan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Kompleks Pejabat dan Kuarters Kerajaan di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah pada pukul 10.44 pagi, 23 November 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh diperintahkan melakukan khidmat masyarakat antara 36 jam hingga 240 jam dan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah itu. 

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 6 Februari depan untuk tertuduh mendapatkan khidmat Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan hukuman.

Menerusi laporan media pada 24 November lalu, empat kanak-kanak ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah selepas mendakwa dihalau dari kediaman nenek di Bota.

Kejadian sekitar pukul 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing tiga tahun dan 10 bulan.

Berikutan itu, satu tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki dan wanita dipercayai ibu dan bapa kepada kesemua kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN