KUANTAN : Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan seramai 700 penduduk terjejas daripada 171 buah keluarga ditempatkan di 15 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah sehingga pukul 8 pagi ini.
Pertambahan mangsa berikutan masing-masing sebuah lagi PPS telah dibuka di Lipis dan Raub termasuk pertambahan bilangan mangsa yang dipindahkan di beberapa PPS lain di kedua-dua daerah tersebut.
Jurucakap Sekretariat Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mangsa banjir di PPS dua daerah tersebut telah menerima bantuan makanan serta kebajikan mereka dipantau oleh Jawatan Kuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD), pihak berkuasa unit beruniform, Balai Penghulu Mukim dan Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung sejurus ditempatkan di situ.
Dalam perkembangan yang sama, jurucakap itu berkata, dua batang sungai di Jerantut, Maran dan Rompin menunjukkan aras bahaya, iaitu Sungai Tembeling di Kampung Bantal mencatat 106.22 meter keadaan trend menurun dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran pada paras 28.66 meter dan Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia paras 11.81 meter dalam keadaan trend menaik.
“10 batang sungai di Lipis, Jerantut, Temerloh, Kuantan dan Rompin mencatat aras amaran dalam keadaan trend menaik, manakala 14 batang sungai di daerah yang sama aras waspada,” katanya. – UTUSAN