KUALA LUMPUR: Sebanyak 380 buah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur akan mendapat saringan kesihatan secara percuma melibatkan anggaran 800 isi rumah.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, program itu meliputi kawasan di PPR Kampung Muhibbah, PPR Raya Permai, PPR Bukit Jalil dan Apartment Kuchai Lama.
“Ada juga beberapa aktiviti tambahan yang kita lakukan di Dewan Komuniti Taman Salak Selatan, siapa yang hadir akan menerima imunisasi Covid-19 dan saringan pengesanan awal kanser serviks (HPV) secara percuma,” katanya kepada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Zaliha menyempurnakan Majlis Pelepasan Mobilisasi Madani Afiat dan Saringan Kesihatan dari rumah ke rumah di Flat PPR Kampung Muhibbah dan juga di Dewan Rukun Tetangga Taman Salak Selatan di Bukit Jalil sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani hari ini.
Seramai 135 anggota terdiri daripada jururawat pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), jururawat kesihatan, jururawat kesihatan pergigian dan 50 pegawai farmasi terlibat bagi program Madani Afiat sempena Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani.
Selain itu, katanya, 185 petugas kesihatan tersebut akan menjalankan saringan kesihatan di sekitar Wilayah Persekutuan/Kuala Lumpur yang mana aktiviti saringan kesihatan bertujuan untuk mengesan dan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).
Jelas Dr. Zaliha, sejumlah 1,776 buah rumah telah berjaya disaring menerusi tujuh program Madani Afiat sebelum ini iaitu di Kedah, Melaka, Johor, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang melibatkan 2,863 orang.
Dalam jumlah itu, seramai 771 orang (26.93%) menghidap diabetes, 1,041 orang (36.36%) menghidap hipertensi, 417 orang (14.56%) berisiko mendapat diabetes dan 695 orang (24.28%) berisiko mendapat hipertensi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kebelakangan ini kes Covid-19 dilihat meningkat dan kes yang berlaku adalah kes ringan yang mana tidak membebankan fasiliti kesihatan.
“Tetapi apa pun kita menggalakkan supaya rakyat mengambil langkah kesihatan, sekiranya ada gejala pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan saringan dan jika positif (Covid-19) boleh mengasingkan diri untuk lima hari,” katanya.
Tambahnya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi memantau kejadian kes Covid-19 di pusat kesediaan dan bantuan krisis (CPRC) bagi persediaan menghadapi gejala itu. – UTUSAN