PETALING JAYA: Sebuah lagi syarikat dilaporkan sedang berunding dengan penasihat undang-undang luar mereka untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenakan penalti RM70.02 juta atas dakwaan pelanggaran penetapan harga.
Syarikat berkenaan ialah Malayan Flour Mills Bhd. dan syarikat usaha samanya, Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd.
Syarikat berkenaan menyusuli langkah diambil anak syarikat pengilangan tepung dan makanan haiwan PPB Group Bhd iaitu FFM Bhd. pada 22 Disember lalu, yang dilaporkan akan berunding dengan penasihat undang-undang luarnya untuk mencabar keputusan MyCC mengenakan penalti sebanyak RM42.69 juta atas dakwaan pelanggaran sama.
Bernama melaporkan, syarikat tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, penemuan pelanggaran oleh MyCC itu adalah tanpa permit.
“Malayan Flour dan Dindings Poultry akan mengambil tindakan yang perlu dan sewajarnya untuk merayu keputusan itu dan memohon penangguhan keputusan itu untuk sementara waktu,” katanya.
Pada 22 Disember lalu, MyCC berkata ia mengenakan penalti hampir RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan membentuk kartel penetapan harga bagi makanan ayam.
Syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn. Bhd., FFM Bhd., Gold Coin Feedmills (M) Sdn. Bhd., Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd.
Suruhanjaya itu berkata, penyiasatannya menemukan bukti kenaikan harga makanan ayam yang sama dalam kalangan pihak-pihak tersebut dari Januari 2020 hingga Jun 2022, sebagai tambahan kepada penemuan bahawa lima syarikat tersebut telah menggunakan strategi mencipta ilusi kenaikan kos makanan ayam akibat kenaikan kos bahan mentah.
Sebelum ini, MyCC menjelaskan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta dikenakan kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
Menurut MyCC, syarikat itu adalah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (RM157.47 juta), FFM Bhd (RM42.69 juta), Gold Coin Feedmills (M) Sdn. Bhd. (RM97.51 juta), Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd. (RM70.02 juta)dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. (RM47.8 juta).
MyCC memaklumkan siasatannya mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan-perusahaan terbabit di antara Januari 2020 hingga Jun 2022 selain mendapati lima perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan kenaikan kos makanan ayam disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.
Katanya, perbualan Whatsapp dan log panggilan yang ditemui semasa penyiasatan menunjukkan hubung kait yang ketara dengan tarikh-tarikh pengumuman harga dan ia menguatkuasakan lagi kes berkenaan amalan komunikasi dan keputusan penetapan harga. – UTUSAN