Kumpulan samun didalangi wanita diberkas - Utusan Malaysia

Kumpulan samun didalangi wanita diberkas

AHMAD Adnan Basri (kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas hasil tangkapan terhadap sembilan suspek kes samun warga emas di Taman Indah Jaya di Teluk Intan baru-baru ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang utama kejadian samun membabitkan lelaki warga emas di Taman Indah Jaya di sini, dua minggu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun itu diberkas dalam tangkapan berasingan di sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan pertama melibatkan dalang utama kes tersebut iaitu seorang wanita berusia 30 tahun di Jalan Changkat Jong pada pukul 2.30 petang, 29 November lalu.

Katanya, berdasarkan soal siasat ke atas wanita tersebut, pihak polis membuat tangkapan susulan melibatkan tiga lagi suspek iaitu lelaki berusia 27 hingga 33 tahun.

“Tangkapan juga dijalankan terhadap lima individu lain termasuk wanita berusia 20 hingga 35 tahun pada 2 dan 3 Disember lalu di Bandar Saujana Putra dan Shah Alam, Selangor serta sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

“Hasil tangkapan terhadap suspek itu membawa kepada rampasan barang kes iaitu dua utas rantai emas beserta loket, sepasang anting-anting emas, seketul emas yang telah dileburkan, sebentuk cincin emas, seutas rantai tangan dan resit pajak gadai.

“Turut ditemukan bersama tangkapan dua bilah parang, satu unit kunci kenderaan dan sebuah kereta jenis Perodua Axia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semakan terhadap rekod kesalahan lampau juga mendapati kesemua mereka mempunyai rekod bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Berdasarkan siasatan, dalang kes samun tersebut mengaku menyalurkan maklumat mengenai mangsa kepada rakan-rakannya sehingga membawa kepada kejadian samun itu. Mangsa dalam kes ini tinggal seorang diri selepas kematian isterinya.

“Daripada sembilan tangkapan itu, dua suspek merupakan pasangan suami isteri dan dua lagi adik-beradik.

“Kesemua mereka kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan melarikan kenderaan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun cedera di bahagian jari selepas ditetak dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Indah Jaya pada pukul 3 petang, 22 November lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang berada seorang diri di rumah, telah didatangi seorang lelaki warga tempatan yang menawarkan kerja-kerja pengubahsuaian di bahagian hadapan pagar.

Mangsa yang terpedaya dengan tawaran lelaki itu telah membenarkannya masuk ke dalam rumah sebelum suspek bertindak menolak mangsa dengan kuat sehingga terjatuh di atas lantai.

Mangsa cuba melarikan diri namun dihalang suspek dengan menetak tangan warga emas itu menggunakan sebilah parang dan mengikat kedua-dua tangan lelaki itu menggunakan tuala kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya