KSM mahu siasatan, laporan penuh 2 pekerja maut di tempat kerja dipercepat - Utusan Malaysia

KSM mahu siasatan, laporan penuh 2 pekerja maut di tempat kerja dipercepat

STEVEN Sim (tengah) menyerahkan bantuan Perkeso kepada ibu bapa pekerja teknikal yang maut ketika menyelenggara di rumah mereka di Taman Sri Pinang, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan siasatan akhir dan laporan penuh berhubung kejadian kemalangan di tempat kerja membabitkan pekerja teknikal yang maut ketika menyelenggara lif di Jalan Burma di sini dan pekerja kilang yang meninggal dunia di Banting, Selangor, disiapkan segera.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, siasatan dan laporan akhir itu perlu disiapkan segera untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

”Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kedua-dua negeri telah turun serta-merta di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan notis-notis berkaitan juga telah diberikan.

”Siasatan dan laporan akhir kita telah arahkan untuk dipercepatkan agar dapat beri keadilan kepada mangsa, mungkin dalam seminggu dua ini ia dapat disiapkan,” katanya selepas mengadakan Ziarah Prihatin di Taman Sri Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, Steven melawat keluarga pekerja penyelenggaraan, R. Tinesh Kumar, 28, yang maut Selasa lalu selepas kepalanya tersepit di lif yang sedang dibaiki di Jalan Burma, dekat sini.

IBU bapa kepada pekerja teknikal yang maut ketika menyelenggara lif, N. Ramachandran (kiri) dan R. Saraswaty (kanan) kelihatan sugul di rumah mereka di di Taman Sri Pinang, George Town, Pulau Pinang, hari ini.

Seorang lagi pekerja kilang di Banting, Selangor, Nur Ahmad Yusoff Muei, 22, maut selepas terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kilang kitar semula, Rabu lalu.

Menurut Steven, majikan-majikan diingatkan sentiasa bertanggungjawab untuk mengawal risiko di tempat kerja bagi memastikan kawasan persekitaran di tempat kerja adalah selamat.

Dalam pada itu, Steven berkata, nasib keluarga pekerja teknikal yang maut ketika menyelenggara lif, Tinesh Kumar terbela dengan mendapat dua faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

”Kejadian tragis yang mengorbankan Tinesh Kumar melayakkan waris kepada pemuda berusia 28 tahun ini menerima faedah caruman Perkeso menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

”Mendiang belum mendirikan rumah tangga, justeru faedah berkenaan akan diberikan kepada bapa, N. Ramachandran, 54, dan ibunya R. Saraswaty, 51,” katanya.

Tambahnya, semakan rekod caruman melayakkan waris mendiang Tinesh Kumar untuk menerima bayaran berkala Faedah Orang Tanggungan (FOT) selain Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 secara sekali bayar.

“Kedua-dua ibu dan bapa mendiang akan menerima bayaran FOT untuk sepanjang hayat,” katanya.

Sementara itu, Ramachandran berkata, mendiang anaknya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik merupakan seorang anak yang baik dan telah tiga tahun bekerja di syarikat penyelenggara lif terbabit.

”Saya rasa kehilangan sangat tetapi kejadian telah pun berlaku, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perkeso kerana telah membantu kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya