Koperal nyaris maut dilanggar ‘mat rempit’ ketika operasi - Utusan Malaysia

Koperal nyaris maut dilanggar ‘mat rempit’ ketika operasi

Koperal dilanggar
AHMAD Haizaki Salimon cedera akibat dilanggar ‘mat rempit’ ketika bertugas dalam operasi sekatan jalan raya dekat Pusat Bandar Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat koperal nyaris maut apabila dilanggar oleh penunggang motosikal yang cuba mengelak daripada ditahan dalam satu operasi sekatan jalan raya berhampiran sebuah pusat beli belah di sini malam tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan serta tidak sedarkan diri hampir lima minit selepas dirempuh.

Pelanggaran itu turut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 21 tahun itu mengalami benjol di bahagian dahi kanan selain luka di siku kiri dan kaki selepas terbabas dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas penunggang motosikal itu memecut laju melawan arus menuju arah susur keluar ke Dataran Shah Alam sebelum berlakunya pelanggaran tersebut. 

Tindakan itu dilakukan penunggang berkenaan hanya dikatakan kerana tidak mempunyai cermin pandang sisi. 

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan SH Roslee SH Mohd. Norrani menjelaskan agar penunggang motosikal khususnya tidak melarikan diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini kepada diri dan pengguna jalan raya lain.

“Kami sebagai pihak penguatkuasa menjalankan tugas-tugas dan ketiadaan cermin sisi  cermin bukan satu kesalahan yang berat. Melarikan diri semasa sekatan jalan raya hanya membahayakan diri sendiri dan anggota polis bertugas,” katanya, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memaklumkan kejadian berlaku apabila penunggang terbabit berpatah balik dengan melawan arus untuk melarikan diri.

“Melihat kejadian ini anggota trafik cuba menghalang penunggang motosikal tersebut melarikan diri. Disebabkan oleh panik, penunggang terbabit melanggar anggota berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM 15,000. 

“Siasatan juga turut dijalankan di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-keduanya sekali.

“Bagi hukuman Seksyen 307 KK pula penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, maka pesalah itu bolehlah dikenakan penjara sehingga 20 tahun,” jelasnya.

Kata Mohd. Iqbal lagi, anggota terlibat, Koperal Ahmad Haizaki Salimon, dalam perkembangannya sehingga petang tadi, beliau sedang dirawat di Hospital Shah Alam dan ditempatkan dekat zon merah sebelum menjalani pemeriksaan tomografi berkomputer (CT scan) pada bahagian kepalanya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya bagi mengelakkan kejadian sedemikian . Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi IPD Shah Alam di talian 0355202222,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya