PETALING JAYA: Ibu bapa menimbulkan rasa bimbang apabila masih belum lagi memperoleh kad MyKid meskipun anak-anak mereka mencecah umur tiga tahun.
Isu ketiadaan kad Mykid dilihat menyukarkan ibu bapa dalam menguruskan urusan pendaftaran anak-anak baik di fasiliti kesihatan mahupun pejabat urusan kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Maryam Sitdek, 24, dia sebagai seorang suri rumah bimbang anak-anaknya masih tiada MyKid.
“Dengan ketiadaan MyKid, saya perlu bawa buku biru (buku rekod kanak-kanak) yang besar untuk berurusan di klinik kesihatan.
“Kalau berurusan dengan kerajaan leceh sedikit sebab tiada MyKid,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan kad MyKid yang dikeluarkan kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di negara ini, bukan dokumen yang wajib dimiliki.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Zamri Misman dalam satu kenyataan semalam berkata, pemohon yang belum menerima MyKid bagaimanapun tidak perlu bimbang, kerana pemilikan dokumen itu tidak diwajibkan.
Jelas Maryam, buat masa sekarang tiada kebimbangan tentang ketiadaan MyKid tetapi dengan adanya kad itu mampu memudahkan urusan di klinik kesihatan atau pejabat kerajaan selain mudah disimpan.
Tambahnya, yang membimbangkan adalah apabila ibu bapa terleka tentang buku rekod kanak-kanak yang berpotensi untuk koyak apabila berada di tangan anak-anak selain terkena hujan.
Selain itu, katanya, dia juga bimbang apabila anaknya kelak yang bakal memasuki alam persekolahan yang masih tiada MyKid untuk urusan pendaftaran.
Dalam pada itu, Hawa Sururi, 27, berkata, dia merasa bimbang anaknya masih tiada MyKid malah perlu membawa sijil lahir ke mana-mana bagi menggantikan MyKid.
Jelasnya, ketiadaan MyKid menyukarkan urusan anak-anak apabila perlu membawa sijil kelahiran sebagai ganti yang juga berpotensi untuk hilang.
Mengulas lanjut, Maryam dan Hawa senada berpendapat MyKid perlu dijadikan dokumen wajib oleh kerana ia mudah dibawa dan disimpan seperti kad pengenalan. – UTUSAN









