PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan Pelan Liberalisasi Visa selama 30 hari bagi pelancong China dan India sebagaimana dirancang biarpun wujud kebimbangan rakyat dan trend peningkatan kes Covid-19 dalam negara ketika ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat sebarang amaran terkini atau langkah berjaga-jaga daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkembangan terbaharu kes Covid-19 itu.
“Sehari dua ini disebut kembalinya Covid-19 dan saya juga mengikuti aduan rakyat. Saya dapat maklumat pihak sekolah yang mendakwa mereka sudah mula edarkan pelitup muka disebabkan terdapat guru dan murid terkena jangkitan.
“Sebelum melaksanakan pelan itu, kami sudah merujuk dan berpandukan kepada nasihat daripada KKM. Namun, setakat ini kami belum mendapat sebarang amaran terkini daripada KKM,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Setahun KDN Madani dan Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya tidak tahu sama ada jangkitan Covid-19 ketika ini berpunca daripada faktor dalam negara atau luar.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak berkompromi dengan faktor keselamatan negara di sebalik pelaksanaan pelan itu, sebaliknya telah mengambil beberapa langkah persediaan.
Saifuddin berkata, ia termasuk keperluan pelancong untuk mengisi kad digital dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan bertujuan memantau pergerakan dan keberadaan mereka di negara ini.
Buat masa ini, katanya, pelancong dari dua negara berkenaan masih boleh melakukan pengisian kad digital sejurus tiba di pintu masuk, bagi membolehkan penyesuaian berlaku.
“Apabila kita membuat langkah liberalisasi, kita tahu mereka masuk menggunakan pas sekali gus membolehkan kita ambil maklum elemen keberadaan mereka.
“Kalau masuk dengan chartered flight (pesawat tempah khas) berurusan dengan agensi pelancongan, sudah pasti mereka berdaftar dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya). Justeru, mereka mesti serahkan jadual pergerakan seminggu dua lebih awal.
“Semua langkah itu kita ambil tanpa kita kompromi dan kita yakin liberalisasi visa ini dapat bantu lonjakkan sektor pelancongan negara dalam tempoh singkat,” katanya. – UTUSAN