PETALING JAYA: Kerjasama antara 18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan akan terus diperkuatkan demi menjaga kebajikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima kunjungan daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan melakukan perbincangan mengenai beberapa perkara.
“Pertemuan empat mata itu menyentuh mengenai kerjasama antara Sarawak dan Persekutuan dalam bidang tenaga hijau serta peluang pelaburan yang baharu yang meningkat di Sarawak dan juga Semenanjung.
“Kami turut bicara soal kerjasama erat di dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang pasti akan terus diperkuat demi rakyat terbanyak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan terbentuk selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiada parti berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.
18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sebelum ini menyertai Kerajaan Perpaduan bertindak menarik diri pada 10 September lalu dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga. – UTUSAN