Kerajaan berjaya tuntut enjin, kotak gear RM2.79j

Kerajaan berjaya tuntut enjin, kotak gear RM2.79j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berjaya menuntut semula beberapa bahagian kapal seperti enjin utama dan kotak gear dan peralatan berkaitan bernilai RM2,792,000 daripada sebuah syarikat pembinaan dan pembinaan kapal.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan balas kerajaan terhadap Semerak Shipyard & Maritime Engineering Sdn. Bhd. dan Trigstation Sdn. Bhd. selaku palintif.

Menurut penghakiman yang dikeluarkan pada 10 Disember lalu, Hakim Abazafree berkata pihak kerajaan berjaya membuktikan melalui imbangan kebarangkalian bajawa mereka layak diserahkan semula peralatan tersebut.

Selain itu, tindakan kerajaan membatalkan kontrak Perkhidmatan Mereka Bentuk, Membina, Menguji dan Mentauliah Sebuah Kapal Penyelidikan Perikanan 30 Meter Untuk Jabatan Perikanan Malaysia juga sah dan mengikut undang-undang.

“Ia (pembatalan kontrak) dibuat selaras dengan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian selepas segala kehendak prosedur yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut telah dipatuhi oleh Defendan. 

“Perjanjian telah ditamatkan selepas Defendan berpuas hati bahawa kelewatan di pihak plaintif (Semerak) telah mencapai suatu tahap yang mewujudkan suatu keadaan yang tidak munasabah untuk Defendan terus berharap yang Plaintif boleh menyiapkan projek ini pada tarikh yang ditetapkan.

“Berdasarkan keterangan saksi dan dokumen, mahkamah mendapati keterangan jelas menunjukkan defendan memberikan amaran dan peringatan bertulis dan lisan dalam mesyuarat tapak kepada plaintif pertama mengenai tanggungjawabnya memastikan menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan,”kata hakim itu.

Hakim Abazafree memutuskan demikian dalam kes saman berhubung tindakan Kerajaan selaku defendan menamatkan kontrak kedua-dua plaintif.

Selain membenarkan tuntutan balas tersebut, Mahkamah turut memerintahkan plaintif agar membenarkan defendan (Kerajaan) memasuki ke tapak pembinaan untuk membuat pemeriksaan ke atas enjin utama, kotak gear dan peralatan berkaitan yang merupakan hak milik Defendan dan kesemua peralatan itu ke premis milik kerajaan.

Plaintif turut diarahkan untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

Semerak dan Trigstation memfailkan saman tersebut atas dakwaan bahawa penamatan kontrak tersebut adalah pramatang, tidak sah dan wajar diberikan ganti rugi.

Bagaimanapun, Hakim Abazafree berkata plaintif tidak layak untuk mendapat ganti rugi setelah gagal membuktikan tanggungjawabnya sebagaimana dinyatakan dalam kontrak telah disempurnakan sehingga layak mendapat ganti rugi/.

Selain itu, plaintif juga gagal menunjukkan sebarang dokumen bagi menyokong tuntutan bagi mendapatkan ganti rugi RM10.9 juta.

Mengikut fakta kes yang dipersetujui, melalui Surat Setuju Terima bertarikh 21 Disember 2016, kerajaan melantik Semerak untuk melaksanakan Perkhidmatan Mereka Bentuk, Membina, Menguji dan Mentauliah Sebuah Kapal Penyelidikan Perikanan 30 Meter Untuk Jabatan Perikanan Malaysia.

Satu perjanjian ditandatangani antara pihak kerajaan dan Semerak di mana perjanjian asal hanya ditandatangani pada 25 Oktober 2017 kerana berlaku kelewatan di dalam memuktamadkan draf Perjanjian. 

Tempoh perjanjian bagi perkhidmatan itu adalah selama 18 bulan bermula dari 28 Disember 2016 dan tamat pada 27 Jun 2018.

Berdasarkan kemajuan kerja yang dinilai melalui lawatan tapak dan mesyuarat berkala, kerajaan mendapati kerja terlewat dari jangkaan yang sepatutnya dan Semerak diberikan teguran atas kelewatan menyiapkan perkhidmatan.

Semerak melalui surat bertarikh 22 Mac 2018 memohon kepada kerajaan bagi pelanjutan tempoh masa sehingga 27 Ogos 2019 di mana ia diberikan lanjutan tempoh kontrak selama 11 bulan untuk menyiapkan baki kerja yang tertunggak sehingga 27 Mei 2019.

Kedua-dua pihak selanjutnya menandatangani satu Perjanjian Tambahan bertarikh 15 Oktober 2018, tetapi plaintif masih lagi lewat di dalam melaksanakan perkhidmatan berkenaan.

Pada 21 Mei 2019, kerajaan mengeluarkan surat penamatan kerana plaintif pertama gagal memulihkan kegagalan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan Notis Kemungkiraan dan gagal melaksanakan perkhidmatan seperti dipersetujui di dalam perjanjian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya