PONTIAN : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kerja Raya supaya mempercepatkan projek membabitkan kementerian berkenaan di Sabah bagi kemudahan rakyat di negeri berkenaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengarahkan supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan, tanpa ada sebarang alasan lagi.
Justeru kata beliau, kementeriannya kan memastikan pelaksanaan projek pembangunan dipercepatkan sebagaimana yang diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau lagi, perhatian serius turut akan diberikan terhadap perjalanan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang masih belum selesai.
Katanya, Perdana Menteri mengharapkan projek-projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya, jambatan, bangunan awam dan sebagainya dapat dipercepatkan pelaksanaannya.
“Dengan perkataan lain, beliau (Anwar) ingin saya membantu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang melibatkan Kementerian Kerja Raya.
“Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan semua kementerian terutama Kementerian Kerjaya supaya projek pembangunan rakyat dipercepatkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Hibrid baharu nanas MS16 yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Stesen Penyelidikan MARDI Pontian, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri dan Asas Tani Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.
Tambah Ahmad, ketika ini terdapat RM90 bilion yang diperuntukkan untuk projek pembangunan yang perlu diselesaikan termasuk di bawah Kementerian Kerjaya mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.
” Bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, penganugerahan tender akan diselesaikan pada pada suku pertama tahun depan.
” Pada pertengahan tahun ini pakej Pan Borneo di Sarawak selesai tetapi di Sabah berlaku perkara teknikal yang menyebabkan tidak sepantas di Pan Borneo Sarawak. Saya akan pastikan projek prasanana untuk rakyat Sabah membabitkan Pan Borneo di negeri itu akan dipercepatkan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pontian yang beralih portfolio daripada Timbalan Kementerian Kewangan I itu, turut berazam untuk melakukan yang terbaik membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama setahun berada di Kementerian Kewangan dengan pelbagai nasihat dan pandangan mengenai ekonomi negara.
Pada 7 Disember lalu, Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan, tanpa ada sebarang alasan lagi.
Beliau berkata penegasan itu perlu dilakukan kerana terdapat projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di negeri ini tertangguh, antaranya Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini yang mampu memberi bekalan elektrik dan air yang selesa untuk rakyat. –UTUSAN