WAKIL rakyat Kemaman terdahulu daripada Barisan Nasional (BN) merupakan seorang menteri penuh dalam Kabinet kerajaan Pusat yang dilantik sejak 2008 sehingga 2018.
Mengikut rekod, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada April 2008, Menteri Komunikasi dan Multimedia (Mei 2013) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bermula Julai 2015 hingga Mei 2018.
Pemilihan Ahmad Shabery pada ketika itu bukan sahaja atas faktor kuota menteri yang ditetapkan bagi kawasan Parlimen terbabit malah kelayakkannya bagi menjawat jawatan terbabit.
Sejak 2018, Kemaman ‘hilang’ wakil rakyat bergelar menteri apabila Ahmad Shabery dan BN tewas kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. Pada PRU15, BN yang diwakili Datuk Seri Ahmad Said tewas sekali lagi buat kali kedua.
Namun kini, Kemaman berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2 Disember ini selepas Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Alias Che Hamid (Pas) pada 26 September lalu.
Pada PRU15 lalu, Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.
Alias berjaya menewaskan Ahmad Said yang meraih 38,535 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin pula mendapat 8,340 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian.
Pada PRU15 lalu, Pas dan Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah di negeri ini apabila menang semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Marang, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Kemaman, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu.
PRK Parlimen Kemaman, 2 Disember ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
BN menerusi calonnya yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera dilihat agresif berkempen mendekati pengundi kerana seperti dinyatakan oleh Raja Mohamed Affandi,Raja Mohamed Affandi, matlamatnya bertanding PRK berkenaan adalah untuk menang.
Seperti kata seorang pengundi kaum Tionghoa di Kampung Air Jernih, Kemasik yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, rakyat dan pengundi di situ mahukan wakil rakyat yang mampu membawa pembangunan.
Adakah Raja Mohamed Affandi akan dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika BN merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman?
Sehingga kini, tiada lagi ‘janji-janji manis’ dibuat berhubung perkara itu oleh pimpinan BN dan Kerajaan Perpaduan. Namun, ia dilihat tidak mustahil kerana Kemaman sebelum ini sudah melahirkan wakil rakyat yang dilantik menteri penuh. – UTUSAN











