Kelam-kabut pindah siren amaran banjir tidak berfungsi

Kelam-kabut pindah siren amaran banjir tidak berfungsi

SEORANG penduduk meredah banjir di Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang, Terengganu, semalam. - UTUSAPUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Penduduk di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong dekat sini mendakwa, siren amaran banjir yang dipasang di situ tidak berfungsi sehingga menyebabkan mereka berpindah dalam keadaan kelam-kabut, kelmarin.

Dalam kejadian itu, kawasan berkenaan mula dinaiki air lebih dua meter kira-kira pukul 5 pagi setelah air Sungai Berang melimpah susulan hujan lebat berterusan.

Seorang penduduk, Nor Laila Kasuma Nasir, 39, berkata, dia hanya menyedari kejadian setelah dikejutkan seorang jiran yang datang mengetuk pintu rumahnya kerana siren amaran banjir tidak berbunyi seperti kebiasaan.

Katanya, dia terperanjat melihat pekarangan rumahnya dipenuhi air dan dalam keadaan panik serta kelam-kabut hanya sempat mengemas sebahagian barangan.

“Melihat paras air naik cepat, saya segera arahkan anak, Nur Alesya Maisara, 10, membawa adiknya, Nur Syafia Hanna yang berusia 16 bulan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan ditemani jiran.

“Suami saya, Mohd. Zainudin Alias, 37, sempat membawa keluar kenderaan ke tempat selamat dan saya pula cuba menyelamatkan barang-barang dalam rumah bersama anak yang lain.

“Lazimnya, siren amaran banjir diaktifkan atau berbunyi apabila berlakunya banjir namun semalam berlaku sebaliknya. Ramai penduduk kelam-kabut kerana tidak jangka banjir,” katanya ketika ditemui di PPS PPSK Felcra Gunung Menerong, semalam.

Kata Nor Laila, dia yang tinggal bersama lima ahli keluarga bersyukur kerana ada jiran datang mengetuk pintu memaklumkan kejadian banjir kerana ketika itu mereka sedang nyenyak tidur.

Seorang lagi penduduk, Zakiah Ahmad, 40, berkata, dia hanya menyedari kawasan PPSK dilanda banjir setelah seorang jiran menghubunginya dan air di halaman rumahnya pula sedalam kira-kira 0.5 meter.

“Air dari Sungai Berang mula melimpah kira-kira pukul 5 pagi, namun hairan kerana siren amaran banjir tidak berbunyi sebagai amaran awal kepada penduduk supaya siap sedia.

“Saya tidak tahu punca sebenar siren amaran banjir tidak berbunyi kerana sekitar November baru-baru ini, pihak berkaitan datang selenggara dan ia berfungsi dengan baik,” ujarnya.

Katanya lagi, saban tahun PPSK Gunung Menerong berdepan bencana banjir dengan kedalaman air setinggi satu hingga tiga meter ekoran limpahan Sungai Berang dan Peris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×