TANJUNG MANIS: Penumpang sebuah kapal menangkap ikan berjaya diselamatkan dalam insiden kapal karam di Sungai Batang Paloh, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 11:37 pagi tadi di beting pasir cetek berhampiran projek Jambatan Batang Paloh.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis menerima insiden berhubung kejadian melibatkan seorang kapten warga tempatan dan tiga awak-awak kapal warganegara Indonesia.
“Kejadian dipercayai berlaku akibat arus deras dan kapal tersebut senget lalu karam,” jelasnya.
Tambahnya, anggota BBP Tanjung Manis bergegas melakukan operasi menyelamat dengan menggunakan bot untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkandas.
“Kesemua mangsa berusia antara 24 hingga 62 tahun berada dalam keadaan selamat.
“Bagaimanapun, tiada sebarang pengenalan diri dapat disahkan ekoran mangsa-mangsa tidak sempat membawa semasa menyelamatkan diri,” katanya. – UTUSAN










