K.A.S.I.H KPWKM bangunkan masyarakat sejahtera

K.A.S.I.H KPWKM bangunkan masyarakat sejahtera

KPWKM aktif melaksanakan kempen Advokasi Antigangguan Seksual sepanjang 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited dalam usaha membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat MADANI menerusi pelbagai inisiatif dan program di pelbagai peringkat yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Dengan membawakan konsep K.A.S.I.H iaitu Kasih sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu dan Harmoni, semua dasar, pelan tindakan, perkhidmatan dan bantuan dijajarkan berpandukan kepada konsep ini yang seiring dengan konsep Malaysia MADANI.

Tujuh konsep K.A.S.I.H telah dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif dan program membuktikan komitmen tinggi KPWKM dalam membangunkan masyarakat sejahtera secara inklusif dan saksama melalui inovasi sosial dan kebajikan produktif seperti berikut:

Menyediakan persekitaran yang selamat untuk semua
 Memperkukuh institusi kekeluargaan
 Menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak
 Memperkasa wanita
 Mendayaupaya Orang Kurang Upaya (OKU)
 Meningkatkan kesejahteraan warga emas
 Merakyatkan perkhidmatan psikososial

Menyediakan persekitaran yang selamat untuk semua

Skuad Waja di bawah KPWKM antara yang aktif meningkatkan kesedaran wanita terhadap isu jenayah dan keganasan.

Dalam usaha untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk semua, penggubalan dan pewartaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) (AAGS) dilaksanakan sebagai suatu dasar baharu yang lebih inklusif dalam menangani perlakuan gangguan seksual.

AAGS mengambil kira kepentingan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran rakyat tentang betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual sebelum akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

Selaras dengan penguat­kuasaan fasa pertama AAGS, KPWKM telah menggerakkan usaha penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual yang akan beroperasi pada tahun hadapan.

Penubuhan tribunal ini bertujuan menyediakan satu platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum serta menyediakan platform bagi satu hak tebus rugi kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual.

Memperkukuh institusi kekeluargaan

Bagi menyokong dan mengiktiraf sistem sokongan keluarga yang membantu ke arah pembangunan negara sejahtera dan pembinaan daya tahan, bulan November setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK).

Ia bagi menghargai kepen­tingan institusi keluarga sebagai asas cerminan kepada masyarakat yang stabil dan sejahtera.

Program Berimpak Tinggi

Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) telah dilaksanakan bagi menyokong pembangunan institusi keluarga.

Kempen ini menaungi Program Subsidi Ujian Mamogram dan Program Saringan Kanser Serviks bagi meningkatkan jumlah wanita yang menjalani saringan awal dan penerima intervensi awal selepas mendapat saringan.

KPWKM juga telah menggerakkan perancangan gerak kerja penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama yang bakal ditubuhkan dalam tempoh lima tahun dari sekarang sebagaimana diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak

Sebagai kesinambungan kepa­­da usaha untuk menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak, KPWKM telah mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) yang telah berkuat kuasa mulai 1 September 2023 bagi menggantikan Bahagian Kanak- kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JPKK bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan, pemulihan dan pembangunan kepada kanak-kanak yang mengalami penganiayaan, penderaan, pengabaian, pengeskploitasian, kesalahan jenayah dan keruntuhan akhlak bagi mencegah dan mengurangkan masalah sosial.

Memperkasa hak wanita antara agenda yang diperjuangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia.

Memperkasa wanita

Agenda memperkasa wanita diteruskan dengan Inisiatif Wanita BANGKIT iaitu aktiviti penjanaan pendapatan melalui sektor formal dengan menghubungkan wanita kepada peluang perniagaan serta keusahawanan.

Program Berimpak Tinggi ini menyasarkan seramai 5,600 orang wanita terdiri daripada golongan suri rumah, B40, M40, ibu tunggal dan Ketua Isi Rumah wanita.

Kejayaan program ini telah menarik minat pihak PRASARANA Malaysia Berhad untuk menaja kiosk perniagaan kepada 40 peserta Wanita Bangkit bagi memasarkan produk mereka di 3 stesen LRT terpilih.

Mendayaupaya Orang Kurang Upaya (OKU)

Bagi mendayaupaya OKU mampan selaras dengan konsep Malaysia MADANI, KPWKM telah mempergiatkan usaha mendaftarkan OKU bagi me­mastikan golongan ini tidak tercicir dan dapat menikmati kemudahan-kemudahan yang ditawarkan pihak Kerajaan serta swasta.

Sehingga 31 Oktober 2023 terdapat 681,074 OKU berdaftar di bawah tujuh kategori ketidakupayaan berdasarkan janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU).
Kelebihan pendaftaran ini membolehkan mereka menikmati hampir 30 kemudahan dan keistimewaan yang disediakan oleh pihak Kerajaan dan swasta.

Meningkatkan kesejahteraan warga emas

Sebagai persediaan ke arah status negara tua menjelang 2030, KPWKM telah mengambil langkah proaktif dengan penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang bertujuan untuk menjaga kesejahteraan golongan itu meliputi perlindungan kebajikan dan hak asasi serta pemerkasaan warga emas.

KPWKM juga mengambil inisiatif mengkaji semula Pelan Tindakan Dasar Warga Emas Negara (PWTEN) dan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) berikutan cabaran perubahan demografi warga emas menjelang 2030 dalam usaha memantapkan aspek penjagaan dan kebajikan golongan ini.

Agenda memperkasa Warga Emas menjadi antara agenda penting KPWKM bagi persediaan ke arah Negara Tua 2030.

Merakyatkan perkhidmatan psikososial

Bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera mental, KPWKM telah melaksanakan misi ‘Kami Dengar, Kami Bantu’ iaitu satu usaha untuk memberi sokongan emosi kepada masyarakat dengan mendekatkan dan membudayakan perkhidmatan kaunseling kepada mereka.

KPWKM telah melancarkan perkhidmatan tele-kaunseling bebas tol iaitu Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari selama 365 hari setahun bagi memudahkan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling pada bila-bila masa.

Terdapat seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor (Malaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah terlibat untuk memberikan perkhidmatan ini.

Kejayaan pelbagai inisiatif dan program-program berimpak tinggi ini memperlihatkan gabungan mantap pasukan kerja KPWKM yang diterajui oleh Datuk Seri Nancy Shukry bermula 3 Disember 2022 dengan dibantu oleh Datuk Dr. Maziah Che Yusuff sebagai Ketua Setiausaha.

KPWKM telah berjaya memak­simumkan fungsinya bagi memperkukuh institusi kekeluargaan, memperkasa wanita dan mengarusperdanakan gender, menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak, mendaya upaya

OKU dan kumpulan khusus serta meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membina sistem sokongan yang berkesan dan menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya