Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan

SEORANG penduduk, Azizah Mohammad Hasan sempat memasak walaupun rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir di Terengganu merekodkan sedikit penurunan kepada 2,693 orang daripada 654 keluarga pada pukul 8 pagi ini berbanding 2,724 orang daripada 670 keluarga pada 6 petang semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu penurunan itu disebabkan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) secara berperingkat mulai lewat petang semalam.

Menurutnya, ketika ini terdapat 37 PPS yang sedang beroperasi di enam daerah di seluruh Terengganu.

Katanya, ketika ini, daerah Dungun masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir iaitu 1,687 orang daripada 418 keluarga di 14 PPS berbanding 1,569 mangsa daripada 389 keluarga petang semalam.

“Peningkatan juga berlaku di daerah Setiu yang kini menempatkan 336 mangsa daripada 84 keluarga berbanding 184 mangsa (58 keluarga) sebelum ini. Jumlah PPS kekal sama di lapan lokasi.

“Situasi sama juga berlaku di daerah Marang iaitu 249 mangsa daripada 44 keluarga di empat PPS berbanding 220 mangsa (40 keluarga) petang semalam,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, situasi berbeza berlaku di daerah Kemaman dan Besut apabila merekodkan penurunan agak ketara disebabkan keadaan cuaca yang bertambah baik di dua daerah tersebut sejak malam tadi.

Tambahnya, di Kemaman, terdapat 131 mangsa daripada 32 keluarga di tiga PPS pagi ini berbanding 227 mangsa daripada 54 keluarga semalam manakala di Besut, banjir hampir pulih sepenuhnya apabila mangsa hanya berbaki lapan orang dari dua keluarga di satu PPS berbanding 242 mangsa daripada 65 keluarga di lapan PPS petang semalam.

“Jumlah mangsa di Hulu Terengganu bagaimanapun kekal tidak berubah iaitu 282 orang daripada 64 keluarga yang kini berada di tujuh PPS daerah itu,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiada sungai di Terengganu yang telah melepasi paras bahaya pagi ini.

Kesemua bacaan paras sungai-sungai utama di Terengganu juga telah menunjukkan trend penurunan sejak malam tadi.

Bagaimanapun, terdapat lima stesen yang menunjukkan bacaan telah melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan (Marang), Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (Kemaman) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram (Kuala Nerus).

Selain itu, dua lagi sungai terletak di daerah Setiu iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya