Johor harap pengecualian visa pelancong China, India diperluas - Utusan Malaysia

Johor harap pengecualian visa pelancong China, India diperluas

RAVEN Kumar (tengah) menerima sumbangan kerusi kitar semula oleh syarikat Petron di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berharap pelaksanaan pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong China dan India dapat dilaksana dalam tempoh panjang bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, pelaksanaannya bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan tempatan, namun juga pelbagai perkhidmatan sampingan lain.

Katanya, hal itu kerana Johor merupakan antara negeri di Malaysia yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong warga China dan India di rantau ini.

“Johor menyambut baik usaha ini dan kita yakin sektor berkaitan seperti perhotelan, pengangkutan, perkhidmatan serta peruncitan akan turut menerima limpahan ekonomi ekoran kemasukan pelancong asing.

“Sehubungan itu kami berharap inisiatif berkenaan akan dilanjutkan untuk tempoh panjang bagi menyokong penganjuran Tahun Melawat Johor 2026. Inisiatif seperti ini akan membantu menjayakan usaha kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula oleh Petron di Kota Iskandar, di sini. Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar.

Tambah Raven Kumar, pihaknya yakin inisiatif tersebut akan memberikan kesan positif kepada rangkaian sektor pelancongan termasuklah pengusaha dan penyedia perkhidmatan tempatan.

“Pihak-pihak terlibat secara langsung khususnya perhotelan sendiri sudah maklumkan kesediaan mereka dalam menerima lebih banyak kemasukan pelancong asing ke negeri ini. Johor miliki kira-kira 18,000 bilik penginapan tersedia.

“Dalam pada itu, saya juga yakin bahawa agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen  dan agensi lain yang mengawal pintu sempadan negara juga telah bersedia dengan perkara ini bagi memastikan kelancaran pergerakan keluar masuk negara,” jelasnya lanjut.

Pada 26 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari bagi rakyat China dan India ke Malaysia dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala negara-negara terlibat. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN