KUALA LUMPUR: Selebriti serba boleh, Alif Satar, berpendapat Kaka Azraff tidak perlu gusar sekiranya kontrak rakamannya dibatalkan hanya kerana menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.
Menurut Alif yang turut berada di bawah syarikat rakaman yang sama, Warner Music Malaysia, setiap artis mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan sokongan mereka.
“Saya nak tekankan, sekiranya Kaka ditamatkan kontrak, ini adalah soal iman dan akidah.
“Tidak ada yang lebih besar daripada itu. Apa yang terjadi pastinya yang terbaik dan ada yang lebih baik.
“Saya pun suka tengok komen-komen yang menyokong Kaka dan sama-sama bersolidariti untuk mereka yang terkesan di Palestin,” katanya.
Alif ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Anak Perjanjian Setan 2, semalam.
Pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-37 itu juga tidak akan mengubah pendirian menyatakan sokongan kepada Palestin walaupun jika ditakdirkan beberapa tawaran pekerjaan dibatalkan.
“Saya manusia biasa, kadang ada kerisauan juga namun saya harus bertegas. Kalau hilang kerja, hilanglah. Takkan tiba-tiba nak sokong Israel.
“Tapi dari aspek profesional, jika kita sudah menandatangani sesuatu kontrak, maka kita kena patuh.
“Tapi label mahupun semua pihak tahu pendirian saya yang sangat tegas di media sosial tentang isu ini. Saya rasa semua rakan-rakan artis melakukan bahagian mereka dengan cara masing-masing,” tambahnya.
Sebelum ini kecoh apabila muncul khabar angin penyanyi, Kaka Azraf, bakal ditamatkan kontrak rakaman bersama syarikat Warner Music Malaysia.
Insiden tersebut bermula apabila Kaka atau nama telah meninggalkan sebuah komen kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic yang mempersoalkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin minggu lalu.
Tindakan Kaka membuatkannya disenarai dalam Instagram Jew Hate Database, iaitu sebuah media sosial khas kelompok penyokong Israel.
Bagaimanapun, penyanyi itu dijangka bakal memberi kenyataan kepada pihak media mengenai isu tersebut malam ini.