‘Jawatan Presiden bukan hak milik individu’

‘Jawatan Presiden bukan hak milik individu’

MUJAHID YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Persaingan merebut 27 tempat ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2023 hingga 2026 lebih sengit berikutan nama-nama besar yang kembali muncul, sekali gus ramai yang layak untuk diangkat sebagai pemimpin tertinggi parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof tidak menafikan peranan penting yang dimainkan Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk memperkasa Amanah selama ini, namun jawatan tersebut dipilih secara konsensus oleh 27 pemimpin.

MOHAMAD SABU

Pemilihan itu berdasarkan konsep majlis syura (rundingan bersama) termasuk tiga wakil daripada Pemuda, Wanita dan Wanita Muda Amanah (Warda).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kali kedua konvensyen diadakan selepas pemilihan pada 2019, iaitu semasa Amanah baru berusia tiga tahun. Kita juga kerajaan waktu itu, jadi kita tidak mahulah melangkaui batas. Tetapi kini, suasana agak panas dan Amanah terbuka kepada mana-mana calon yang layak.

“Ada 124 orang yang bertanding merebut 27 tempat, kali ini paling ramai. Kemudian mereka membuat keputusan melalui perundingan mesyuarat untuk melantik Presiden, Naib Presiden dan jawatan-jawatan lain.

“Seperti saya, belum tentu saya kekal sebagai Naib Presiden. Begitu juga dengan Presiden sekarang kerana mereka yang akan menentukan ke semua jawatan penting itu. Kita akan pilih yang terbaik dalam kalangan yang terbaik untuk memegang jawatan Presiden,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketika ini, Mujahid serta pemimpin Amanah lain iaitu Datuk Mahfuz Omar, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Adli Zahary dan Dr. Siti Mariah Mahmud memegang jawatan yang sama iaitu Naib Presiden.

Sementara bagi jawatan Timbalan Presiden kosong setelah kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mujahid berkata, kaedah yang diguna pakai Amanah menjadikan pemilihan parti lebih telus dan tiada ‘cai’ seperti yang wujud dalam sesetengah parti.

“Kita tidak seperti parti lain yang sesetengah jawatannya tidak dipertanding. Bukan seperti Pas, itu keunikan Amanah. Pemilihan itu juga dibuat dalam kalangan 27 orang, mana sempat nak buat kerja ‘cai-cai ni’,” katanya.

Ditanya apakah beberapa pemimpin Amanah yang diangkat menjadi menteri lebih menyerlah berbanding calon lain, katanya, ia tidak menjadi perkiraan utama dalam pemilihan pimpinan Amanah kali ini.

“Tidak ada jawatan dalam kementerian pun boleh dipilih sebagai jawatan Presiden. Sebab kalau ada jawatan dalam kementerian, tetapi tidak menyumbang kepada parti pun individu itu mungkin tidak dipilih. Kriteria pertama yang jadi pilihan adalah mereka yang banyak menyumbang kepada parti. Bukan jawatan yang disandang dalam kementerian menjadi pilihan utama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN