Isteri hamil, ibu meninggal dunia kemalangan

Isteri hamil, ibu meninggal dunia kemalangan

GAMBAR kenangan Ismail Mohamad dan Nadzifah Abu Seman yang dirakam kelmarin sebelum isterinya maut kemalangan di Pokok Sena, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hasrat sebuah keluarga menyambut kelahiran cahaya mata sulung yang dijangka April tahun depan tidak kesampaian apabila si isteri yang hamil lima bulan maut akibat kemalangan di Pokok Sena, dekat sini, semalam.

Lebih memilukan, nahas itu bukan sahaja mengorbankan Nadzifah Abu Seman, 28, malah meragut nyawa ibu mentuanya, Romadiah Ismail, 65, yang menaiki Perodua Bezza.

Suami Nadzifah, Ismail Mohamad, 28, berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta bagi menjaga kakak iparnya yang dirawat akibat masalah kesihatan.

“Kalau ikutkan, saya yang hantar mereka ke hospital tapi isteri kata tak mahu susahkan saya yang bekerja dan akan pandu sendiri kereta milik kakak ke sana.

“Ketika kejadian saya berada di tempat kerja yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kemalangan dan menerima klip video di WhatsApp memaparkan sebuah kereta berwarna biru kemalangan.

“Saya tergerak hati untuk telefon isteri tapi tiga kali panggilan tak dijawab dan kakak pula maklumkan mereka belum sampai. Jadi kerana tak sedap hati, saya ke tempat kejadian sebelum mendapati memang isteri dan ibu yang kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9.55 pagi itu, kemalangan dipercayai melibatkan lori tanah yang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dinaiki dua beranak itu serta sebuah Perodua Axia dan Toyota Hilux.

Tiga lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Kolon, Pokok Sena itu termasuk pemandu Perodua Axia, Nur Fathi Rahman, 26, yang dilaporkan parah akibat dilanggar lori dipandu seorang lelaki.

Menurut Ismail, pada mulanya dia tidak dapat memastikan identiti kedua-dua mereka kerana keadaan mayat yang tersepit selain nombor plat kereta yang tertanggal, namun dapat mengecam bentuk kuku ibu mertuanya yang berada di kerusi penumpang hadapan.

Sementara itu, dia yang bekerja sebagai penghantar barangan di sebuah syarikat kurier berkata, mereka berdua teruja menunggu kehadiran cahaya mata sulung selepas isterinya keguguran ketika kandungan berusia dua bulan, tahun lalu.

Katanya, dia dan Nadzifah juga sepatutnya menyambut ulang tahun perkahwinan yang kedua pada 11 Disember ini dan merancang ke ibu negara untuk bercuti.

“Dia kata nak tengok Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan semalam pun ketika kami pergi makan kenduri di Perlis, saya ajak dia bergambar. Tak sangka itu yang terakhir walaupun pada awalnya dia tak mahu kerana susah nak panjat batu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN