Inap desa 'sorok' 59 PATI digempur - Utusan Malaysia

Inap desa ‘sorok’ 59 PATI digempur

PATI
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dekat inap desa tersebut yang terletak di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taktik sindiket penyeludupan menjadikan sebuah inap desa sebagai rumah penampungan atau transit pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Kebun di sini, terbongkar selepas digempur polis semalam.

Serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Op Pintas itu kepada penahanan 59 warga asing termasuk 12 wanita berusia 20 hingga 40 tahun termasuk ejen sindiket tersebut.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil risikan selama dua hari mengenai kewujudan PATI di kawasan tersebut.

“Lima daripada mereka melibatkan warga Bangladesh dan seorang etnik Rohingya manakala selebihnya warga Indonesia. Semakan mendapati empat lelaki yang ditahan berperanan sebagai ejen, penjaga rumah dan pembantu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Fadil, pihaknya turut merampas sebuah kereta Honda City, wang tunai RM1,000 dan tiga telefon bimbit.

“Semua warga asing itu tiada dokumen perjalanan sah dan dipercayai masuk dan keluar ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan (jalan laut). Mereka membayar tambang antara RM1,500 hingga RM2,000 mengikut kawasan dan ejen,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan  dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 19659/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN