PASIR MAS: Arked Mara seperti hidup segan, mati tidak mahu.
Itu perumpamaan situasi yang boleh digambarkan di kawasan perniagaan Arked Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pasir Mas di sini, yang sunyi tanpa kehadiran pengunjung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga di situ, Mohd. Zakiman Rameli , 46, berkata, situasi suram mula melanda kawasan itu apabila Pasar Mundok yang terletak berhampiran landasan kereta api dipindahkan ke lokasi baharu di Bandar Baharu Tasek Raja.
Katanya, situasi bertambah parah apabila stesen bas henti-henti turut ditutup menyaksikan lokasi yang sebelum ini meriah dengan urusan jual-beli bertukar menjadi sepi.
“Sejak itu pendapatan peniaga di sini terjejas walaupun berada di tengah-tengah bandar Pasir Mas. Mahu dapat RM500 sebulan pun payah.
“Terus-terang saya katakan sewa premis perniagaan pun susah untuk dijelaskan sehingga tertunggak antara dua hingga tiga bulan,” katanya.
Mohd. Zakiman memberitahu, bayaran sewa RM170 sebulan membuatkan dia terus kental untuk berusaha dan mempertahankan kedai jahitnya daripada ‘gulung tikar’.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Aslelawani Mat Zain, 48, berkata, pihak Mara perlu membuat promosi lebih rancak untuk menghidupkan semula arked berkenaan.
“Ramai yang tak tahu ada kedai makan di Arked Mara, sehingga saya terpaksa membuat promosi sendiri dalam media sosial.
“Sayanglah, kawasan di sini strategik namun kurang promosi menyebabkan orang ramai tidak sedar kewujudan Arked Mara Pasir Mas,” ujarnya. – UTUSAN










