PETALING JAYA: Tuah menyebelahi seorang lelaki dari Sabah apabila hasratnya untuk bersalaman dengan Perdana Menteri akhirnya tercapai.
Menerusi hantaran video di aplikasi TikTok, lelaki yang dikenali sebagai Fendi bertemu dengan Anwar Ibrahim ketika menghadiri solat jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan.
Video berdurasi 32 saat itu menunjukkan Fendi mengulangi ayat “nak salam PMX” berkali-kali sehingga dia berpeluang menyalami tangan Perdana Menteri Malaysia itu.
“Wahh! Alhamdulillah dapat solat jumaat bersama Perdana Menteri Malaysia, berjumpa dan bersalaman dekat Masjid Wilayah Persekutuan. Terima kasih PMX,” jelasnya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa bangga terhadap kegigihan Fendi mencapai hasratnya dan ada yang menyatakan keinginan yang sama untuk berjumpa dan bersalaman dengan Perdana Menteri Malaysia itu.
“Saya nak bergambar dengan PMX. Itu merupakan salah satu impian saya. Bila lah giliran saya pula. Apa-apapun selamanya PMX,” komen @aynasalish853.
“Kalau kita nak dapatkan sesuatu kena cakap berulang kali macam ni barulah tercapai,” tulis @jyjgx.
Video berkenaan telah tular di media sosial dan menerima hampir 40,000 tontonan, 409 komen dan 4486 tanda suka. – UTUSAN