Gabungan Petani Perak mahu menteri masuk campur isu tanah kebun

Gabungan Petani Perak mahu menteri masuk campur isu tanah kebun

JEYAKUMAR (depan tiga kiri) menyerahkan memorandum kepada pejabat menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas segala usaha gagal, sekumpulan petani di bawah Gabungan Petani Perak mahu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu masuk campur bagi menyelesaikan isu dihadapi mereka sejak sekian lama.

Kumpulan itu hadir ke Wisma Tani pagi ini bagi menyerahkan memorandum dan meminta diadakan satu dialog bagi merungkai isu pengusiran petani di Perak oleh kerajaan negeri.

Mewakili kumpulan itu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, pihaknya mahu Mohamad hadir sendiri ke Hulu Kinta, Perak bagi memahami sendiri isu dihadapi lebih 200 petani itu.

Beliau berkata, pihaknya sedar tanah adalah di bawah kuasa negeri tetapi isu keterjaminan makanan juga sebahagian daripada keselamatan negara.

“Kami amat berharap Kerajaan Madani akan bersikap berani dan berprinsip serta bertindak tegas untuk menangani isu ini demi keselamatan makanan negara dan kesejahteraan generasi akan datang.

“Kami juga mahu kerajaan negeri menghentikan tindakan mengusir keluar petani yang sedang mengusahakan kebun sayur di Hulu Kinta,” katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum kepada kementerian, hari ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Jeyakumar kepada Pegawai Khas Pejabat Menteri, Muhammad Faizzal Abd Rahman di lobi Wisma Tani, pagi tadi.

Katanya, dalam memorandum itu, Gabungan Petani Perak meminta kerajaan negeri supaya mewartakan tanah yang diambil daripada petani itu sebagai kawasan kekal pertanian bagi menjamin pengeluaran makanan.

Jeyakumar berkata, pihaknya turut menggesa pihak kerajaan campur tangan dengan menyediakan dana bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil semula tanah daripada pihak pemaju dengan kuasa mengikut Akta Pengambilan Tanah.

Sebelum ini, lebih 200 petani di Perak berdepan pengusiran oleh kerajaan negeri apabila tanah kebun yang diusahakan mereka sejak sekian lama diambil bagi tujuan pembangunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya