KUALA LUMPUR: Meskipun program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) sudah melabuhkan tirainya, pertikaian mengenai keputusan kemenangan masih menjadi bahan bualan ramai termasuk warganet dalam media sosial.
Rata-rata penonton dan peminat menyifatkan kejuaraan seharusnya terarah kepada Hady Mirza atau Liza Hanim yang dilihat sebagai antara peserta terbaik menerusi persembahan di pentas akhir ASGV di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin dan bukannya Jaclyn Victor.
Keputusan kemenangan itu dibuat sebulat suara oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Menerusi acara di pentas akhir, penganjur juga menjemput Ratu Rock tanah air, Ella sebagai juri undangan.
Bagaimanapun, apa yang membuatkan pertikaian semakin panas adalah kehadiran Ella sebagai juri dilihat seakan tidak mempunyai sebarang fungsi, memandangkan penyanyi itu tidak begitu bernas dalam memberi komen selain hujah-hujah yang diberikan disifatkan sangat ‘ringan’.
Menerusi pengamatan Utusan Malaysia yang berada di lokasi kelmarin, ramai kalangan peminat dan penonton segera bangkit daripada kerusi masing-masing dengan wajah mencuka sebelum keluar meninggalkan dewan sejurus selepas keputusan kemenangan diumumkan.
Ramli yang merupakan Ketua Juri berkata, dia bersama barisan juri sepakat memaklumkan bahawa 80 peratus markah adalah ditekankan menerusi persembahan solo peserta selain bakinya menerusi segmen duet dan battle.
“Memang kami sembunyikan peratusan markah itu dan bagi saya, sepatutnya peserta akan all out dengan persembahan solo kerana ia adalah lagu pilihan mereka sendiri. Berdasarkan persembahan pertama, saya sudah tahu siapa bakal menang.
“Secara peribadi, peserta lain bagi saya kurang perform berbanding Jaclyn. Saya tahu, semua bermati-matian untuk persembahan solo, tetapi masih kurang berbanding Jaclyn,” katanya.
Sementara itu, Syafinaz pula berkata, meskipun Jaclyn diangkat sebagai juara ASGV, itu tidak bermakna peserta lain tidak menunjukkan prestasi yang bagus menerusi pembabitan mereka dalam program itu.
Kata Syafinaz, dia berbangga dengan peningkatan graf dan mutu persembahan peserta lain seperti Tomok, Nikki Palikat dan Liza Hanim termasuk Siti Nordiana.
Bagaimanapun, Jaclyn baginya lebih menyerlah kerana berupaya memberi satu persembahan yang kedengaran ikhlas selain sempurna secara keseluruhannya.
Terdahulu, perdebatan bermula apabila ramai meramal Liza Hanim berhak menyandang gelaran tersebut kerana sudah memberikan yang terbaik dalam ketiga-tiga persembahannya iaitu solo, duet bersama Aina dan pusingan battle.
Bagaimanapun, Jaclyn yang sebelum ini bergelar penyandang juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) diangkat sebagai juara ASGV yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Finalis lain tidak pulang tangan kosong apabila mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang, pakej percutian tajaan Kaki Jalan dan trofi Gegar Vaganza.
Buat pertama kali, GV10 bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 11,000 penonton. – UTUSAN










