PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi mahu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memberi lebih fokus terhadap aspek pra produksi terutamanya melibatkan penulisan skrip yang berkualiti dan perancangan pemasaran.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, sekiranya aspek pemasaran dapat diberikan lebih masa dan mempunyai perancangan yang lebih teratur, maka hasil kutipan akan lebih memberangsangkan.
“Setelah FINAS disahkan sebagai salah satu agensi dibawah Kementerian Komunikasi, apa yang akan kita beri fokus adalah aspek pra produksi terutama pembikinan skrip berkualiti disamping aspek pemasaran.
“Kita lihat antara cabaran dihadapi untuk filem-filem yang telah disiapkan menggunakan DKD (Dana Kandungan Digital), ada satu sikap yang perlu dilihat semula iaitu hanya bergantung harap kepada skim wajib tayang.
“Jika dirancang dan direncanakan dengan baik iaitu di fasa filem-filem yang telah siap lebih awal daripada jadual iaitu kadang kala seminggu atau dua minggu daripada tarikh wajib tayang itu, saya percaya kalau diberikan lebih masa dan diatur rancangan pemasaran maka hasil kutipan pun akan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, terdapat keperluan untuk FINAS meneliti bagi membawa filem-filem Malaysia ke pasaran atau platform luar terutamanya rantau Asia Tenggara.
Katanya, ini kerana salah satu cabaran yang dihadapi oleh pihak produser adalah mengumpulkan dana untuk membawa filem yang dihasilkan mereka ke pasaran luar.
“Saya lihat FINAS sebelum ini ada menyatakan kesediaan untuk membawa filem-filem (ke pasaran luar) dan saya rasa ini adalah langkah yang positif.
“Dan menuju ke depan, fokus yang kita minta FINAS berikan adalah kepada penulisan skrip, pitching, pemasaran dan aspek pengagihan, jadi empat perkara ini saya minta jadi fokus oleh FINAS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyifatkan 2023 sebagai tahun yang amat cemerlang dengan kejayaan 30 buah filem tempatan yang telah menembusi festival-festival filem antarabangsa dan meraih kejayaan.
Jelasnya, di peringkat pasaran domestik, kutipan box-office filem tempatan hingga kini ialah sebanyak RM98.8 juta untuk tayangan 56 buah filem. –UTUSAN
//










