SUNGAI PETANI: Enam lelaki termasuk seorang remaja bawah umur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, mengaku bersalah bagi pertuduhan merusuh dalam kejadian seminggu lalu.
Kesemua mereka, Muhammad Sharizal Ngazawan, 42; Mohd. Nawawi Azmi, 35; Muhammad Sufyan Johan Panggi, 25; Mohamad Muhaimin Mahmud, 33; Zulkupli Mohamed, 33, dan remaja berusia 16 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berhimpun secara berkumpulan dan mencederakan Muhammad Sharizal yang juga tertuduh pertama di hadapan sebuah hotel di Jalan Padang Temusu, kira-kira pukul 1 tengahari, 27 November lalu.
Pertuduhan terhadap keenam-enam mereka dikemukakan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Farah Adnin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM2,000 kepada lima tertuduh dan RM1,500 terhadap remaja di bawah umur dengan seorang penjamin.
Majistret turut menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan fakta dan jatuh hukum.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan enam lelaki ditahan kerana merusuh tanpa senjata dalam kejadian di hadapan sebuah hotel yang dipercayai berlaku kerana salah seorang daripada mereka dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada salah seorang suspek. –UTUSAN